PITAS : Sesi Pembelajaran dan Pengajaran (PdP) di Sekolah Pinapak di sini akan diteruskan seperti biasa Isnin ini meskipun bangunan asrama yang menempatkan seramai 60 murid musnah dalam satu kebakaran jam 8 pagi pada Jumaat.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) Datuk Raisin Saidin berkata, kebakaran itu tidak menjejaskan bangunan kelas dan sesi persekolahan dijangka dapat berjalan tanpa gangguan.
“Kebakaran hanya melibatkan asrama lelaki dan perempuan, sementara bangunan kelas masih selamat dan boleh digunakan.
“Oleh itu, sesi pembelajaran akan diteruskan pada Isnin seperti biasa,” katanya ketika dihubungi di sini pada Sabtu.
Semalam, bangunan asrama sekolah berkenaan dilaporkan musnah dalam satu kebakaran yang dipercayai bermula dari asrama lelaki sebelum merebak ke asrama Perempuan serta ke seluruh bangunan.
Raisin berkata, ketika kejadian semua murid asrama berada di dalam kelas mengikut sesi pembelajaran.
“Kejadian terjadi sangat pantas, dan hasil pemeriksaan secara kasar mendapati keseluruhan bangunan tingkat atas asrama terbakar termasuk, katil,tilam,bantal dan pakaian para murid.
“Pihak Bomba dalam proses membuat siasatan forensik bagi mengenalpasti punca kebakaran yang bermula daripada dorm lelaki. Tiada kemalangan jiwa yang terlibat,” katanya.
Susulan kejadian itu,beliau berkata, beberapa langkah telah diambil oleh pihaknya bagi memastikan keselamatan dan kelangsungan sesi pembelajaran pelajar.
Katanya, pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pitas bertindak segera menggerakan pasukan
ke lokasi kejadian setelah dimaklumkan oleh sekolah dan meminta sekolah membuat laporan awal.
“Memandangkan sekolah ini sudah hampir siap bagi bangunan baharu, pihak PPD mencadangkan dengan pihak sekolah, agar penempatan sementara asrama dapat dibuat di bangunan sedia ada (bangunan asrama lama) yang berhampiran dengan asrama yang terbakar,” katanya.
Dalam pada itu, Raisin berkata,JPNS telah berhubung dengan PPD Pitas untuk mendapatkan laporan lanjut berkaitan kejadian
Menurutnya, pihaknya telah mengarahkan PPD Pitas untuk memantau perkembangan semasa dan melaporkan dengan kadar segera setiap perkembangan serta meminta PPD menghubungi agensi-agensi berkaitan untuk memantau aspek keselamatan dan kebajikan warga sekolah. – SABAH MEDIA



