HomeUtamaBelanjawan Sabah 2026 bukti keupayaan kerajaan urus pembangunan, kebajikan rakyat

Belanjawan Sabah 2026 bukti keupayaan kerajaan urus pembangunan, kebajikan rakyat

Read Time:2 Minute, 55 Second

KOTA KINABALU: Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Lumadan, Datuk Mazlan @ Joehari Manan menyifatkan Belanjawan Sabah 2026 sebagai bukti keupayaan Kerajaan Negeri mengurus kewangan secara berhemah, berdisiplin dan mampan, selain kekal memberi keutamaan kepada kebajikan rakyat.

Beliau berkata, belanjawan yang melibatkan Anggaran Perbelanjaan RM6.402 bilion dengan Anggaran Hasil RM6.430 bilion itu, sekali gus merekodkan lebihan RM28 juta, mencerminkan pengurusan fiskal yang stabil dan bertanggungjawab.

“Belanjawan ini membuktikan komitmen Kerajaan Negeri bukan sahaja dalam memastikan kelestarian kewangan, tetapi juga menyalurkan peruntukan yang signifikan untuk memenuhi keperluan asas rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mazlan berkata, antara tumpuan utama belanjawan ialah penyelesaian isu jalan raya dan bekalan air apabila Kementerian Kerja Raya dan Utiliti diperuntukkan RM1.122 bilion bagi Perbelanjaan Perbekalan serta RM534.28 juta bagi Perbelanjaan Pembangunan.

Menurutnya, peruntukan besar itu penting bagi membaiki jalan rosak, meningkatkan akses kawasan luar bandar serta memperkukuh kestabilan bekalan air bersih, termasuk projek naik taraf jalan kampung, jalan pertanian dan sistem bekalan air luar bandar.

Dalam aspek kebajikan dan pembasmian kemiskinan, beliau berkata Kerajaan Negeri kekal komited melaksanakan Model Menoktahkan Kemiskinan Tegar Negeri Sabah yang memberi tumpuan kepada lima intervensi utama meliputi perumahan, pekerjaan, pendidikan, kebajikan dan kewangan, serta keusahawanan dan latihan.

“Pelaksanaan Program SYUKUR dengan bantuan tunai RM300 sebulan kepada 100,000 penerima yang bermula pada 2025 dan diteruskan dalam Belanjawan 2026 adalah langkah penting untuk meringankan beban kos sara hidup rakyat,” katanya.

Beliau turut memaklumkan pelbagai skim bantuan kebajikan lain diteruskan, termasuk kepada golongan berpendapatan rendah, warga emas, Orang Kurang Upaya (OKU), ibu tunggal dan kanak-kanak bagi memperkukuh perlindungan sosial secara bersasar.

Mengulas perumahan rakyat, Mazlan berkata Program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) diteruskan dengan penambahan kuota daripada 40 kepada 50 unit bagi setiap DUN pada 2026, termasuk tambahan 10 unit khusus untuk golongan muda berumur 40 tahun ke bawah yang telah berkeluarga dan belum memiliki rumah sendiri.

Katanya, Kerajaan Negeri juga akan melaksanakan kajian pemberian Bantuan Subsidi Bayaran Deposit Rumah Pertama kepada golongan muda yang daif bagi membantu pemilikan rumah secara lebih inklusif dan mampan.

Dalam bidang pendidikan dan pembangunan modal insan, beliau berkata Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi diperuntukkan RM186.54 juta bagi Perbelanjaan Perbekalan serta RM18.18 juta bagi Perbelanjaan Pembangunan.

“Sebanyak 13 bantuan pendidikan sedia ada seperti BUDI, BAIK, BAKTI, SUBFLY dan SENTOSA diteruskan, selain pengenalan Bantuan Pendaftaran Yuran MUET (BAYU) yang dijangka memberi manfaat kepada pelajar pada 2026,” katanya.

Mazlan berkata pembangunan belia dan sukan turut diberi perhatian apabila Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif diperuntukkan RM98.06 juta, termasuk RM16.75 juta bagi pembangunan modal insan belia, RM27.21 juta untuk kemajuan sukan dan RM10.05 juta bagi pembinaan serta penambahbaikan prasarana sukan di bawah RMKe-13.

Beliau turut menekankan peningkatan pelaburan asing dan domestik sebanyak 76 peratus kepada RM11.368 bilion pada 2025 berbanding RM6.458 bilion pada 2024, yang menurutnya merancakkan ekonomi Sabah.

“Belanjawan 2026 memberi penekanan kepada usaha menarik lebih banyak pelaburan melalui pembangunan infrastruktur asas, peningkatan utiliti dan pengukuhan keyakinan pelabur bagi mewujudkan peluang pekerjaan serta limpahan ekonomi kepada rakyat,” katanya.

Mazlan berkata, keupayaan Kerajaan Negeri mengekalkan kestabilan fiskal turut dibuktikan melalui pemberian bonus sebulan gaji kepada penjawat awam negeri untuk dua tahun berturut-turut.

“Ia bukan sahaja penghargaan kepada dedikasi penjawat awam, malah mencerminkan kecekapan pengurusan hasil negeri,” katanya.

Secara keseluruhan, beliau menyifatkan Belanjawan Sabah 2026 sebagai belanjawan yang realistik, berpaksikan rakyat dan berpandangan jauh, sambil berharap setiap peruntukan dapat dilaksanakan serta dipantau dengan berkesan agar manfaatnya benar-benar dirasai rakyat di seluruh Sabah.

RELATED ARTICLES
Utama

Sesi persekolahan SK Pinapak diteruskan Isnin ini

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular