HomeUtamaJangan malu jadi petani, anak muda diseru ceburi sektor pertanian

Jangan malu jadi petani, anak muda diseru ceburi sektor pertanian

Read Time:1 Minute, 23 Second

KOTA KINABALU: Golongan muda di negeri ini diseru untuk tidak berasa malu menceburi sektor pertanian, sebaliknya menjadikan bidang itu sebagai industri moden yang berpotensi menjana pendapatan serta menjamin masa depan keterjaminan makanan negeri.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah Datuk Jamawi Jaafar berkata, penglibatan generasi muda amat penting bagi memastikan kelangsungan sektor pertanian, perikanan dan industri makanan, khususnya dalam melahirkan generasi pelapis yang berdaya saing.

“Jangan malu jadi petani. Kita tidak mahu sektor ini hanya diterajui golongan berusia 50 atau 60-an Sahaja.

“Sebaliknya perlu ada generasi penyambung yang akan memacu industri ini pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pelancaran Agropelancongan Durian Sabah dan pelancaran Risalah Sabah Agro Tourism Edisi Kedua di sini pada Sabtu.

Jamawi berkata, Kerajaan turut memperuntukkan kira-kira RM50 juta khusus bagi program latihan di bawah agensi kementeriannya yang bertujuan melahirkan lebih ramai belia mahir serta berpengetahuan dalam bidang berkenaan.

Katanya, satu program Mentor-Menti akan dilaksanakan bermula tahun hadapan, melibatkan petani muda berusia sekitar 30-an yang telah berjaya sebagai mentor kepada anak muda lain yang berminat menceburi sektor pertanian.

“Golongan ini akan menjadi contoh dan pembimbing kepada belia lain untuk berani memulakan usaha dalam bidang pertanian dan perikanan,” katanya.

Selain itu, kerajaan juga sedang merangka kerjasama dengan institusi kewangan bagi menyediakan bantuan pembiayaan berbentuk geran dan dibayar semula tanpa faedah, bagi membantu anak muda memulakan perusahaan pertanian mereka.

Beliau berkata, inisiatif tersebut akan diselaraskan dengan pelaksanaan Program Jelajah Kebun-Dapur, yang dijangka mampu menyumbang kepada pengukuhan keterjaminan makanan negeri Sabah.

“Penyertaan aktif anak muda dalam sektor ini bukan sahaja menjana ekonomi, malah memastikan bekalan makanan negeri terus terjamin pada masa hadapan,” katanya.  SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Konsep Kebun Dapur dijangka dilancar awal tahun depan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular