Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Pulau Gaya mencatat sejarah apabila berjaya menyiapkan laluan pejalan kaki pertama di Malaysia yang dibina sepenuhnya menggunakan sisa plastik laut dan sisa pulau, sekali gus menukar pencemaran marin menjadi kemudahan awam yang memberi manfaat kepada komuniti.
Laluan sepanjang 130 meter yang terletak di Kampung Lobong, Pulau Gaya itu dibina menggunakan sebanyak 813 kilogram sisa plastik, bersamaan puluhan ribu botol, dan siap sepenuhnya pada 30 Oktober 2025.
Laluan selebar tiga kaki ini menghubungkan jambatan kayu kampung ke gelanggang sukan setempat, sekali gus menyediakan laluan lebih selamat dan praktikal untuk kegunaan harian penduduk.
Presiden Meraki Daat Initiative merangkap Pengarah Projek, Michelle de la Harpe, berkata projek berkenaan menandakan kejayaan penutup kepada projek perintis di bawah United Nations Development Programme (UNDP) Malaysia Island Waste Innovation Challenge.
“Kami berjaya menghalang sisa plastik ini daripada memasuki laut atau dibakar, membuktikan bahawa pencemaran marin boleh ditukar menjadi aset komuniti,” katanya.
Michelle berkata, projek tersebut merupakan satu pencapaian besar kerana ia dilaksanakan sepenuhnya di lokasi, berbeza dengan pembinaan jalan plastik industri di tanah besar, sekali gus menutup kitaran pengurusan sisa di pulau secara menyeluruh.
“Ini merupakan satu pencapaian logistik yang memerlukan kami mencipta semula cara mengurus sisa di kawasan terpencil. Kami membuktikan bahawa dengan kepakaran, semangat dan dedikasi, beban logistik boleh ditukar menjadi aset komuniti,” katanya.
Menurutnya, bahan binaan laluan itu diperoleh melalui pendekatan pembersihan pelbagai hala, melibatkan tiga saluran utama pengumpulan sisa.
Pertama, melalui kerjasama dengan Marine Research Foundation (MRF), pasukan projek menggunakan kapal Mobula untuk mengutip sisa terapung di perairan sekitar Pulau Gaya dan Sepanggar.
Kedua, penduduk kampung dan isi rumah setempat turut terlibat secara langsung dengan digalakkan mengasingkan botol-botol plastik jenis Polyethylene Terephthalate (PET).
Ketiga, bahan sisa tambahan dikumpul menerusi pembersihan pantai harian semasa program Cabaran Kampungku Bersih, yang dijalankan dari Ogos hingga September 2025.

Projek yang dilancarkan pada Januari 2025 itu berdepan pelbagai cabaran infrastruktur, termasuk ketiadaan bekalan elektrik tiga fasa di pulau berkenaan, selain isu kelulusan dan kelewatan logistik.
Pasukan teknikal yang diketuai oleh pengurus projek Adora Shariman telah membangunkan kaedah pembinaan hibrid menggunakan eco-paver dan papak konkrit, memanfaatkan penuaian air hujan dan pasir pantai untuk meminimumkan jejak karbon.
“Disebabkan kekangan acuan dan masa, kami membangunkan sistem selang-seli antara eco-paver dan papak konkrit. Air hujan digunakan untuk bancuhan konkrit dan pasir pantai tempatan dimanfaatkan bagi mengurangkan jejak karbon,” kata Adora.
Michelle berkata, kejayaan projek perintis ini menandakan permulaan kepada visi yang lebih besar.
Menurutnya, pasukan projek kini sedang menjalankan ujian ketahanan serta proses pensijilan bagi mengkomersialkan teknologi eco-paver.
Beliau berkata, berbeza dengan projek lain yang menggunakan sisa industri, inisiatif ini secara unik menangani cabaran logistik pulau dengan memanfaatkan sisa marin kitar semula.
“Projek Meraki Daat Initiative ini tampil berbeza daripada asfalt bercampur plastik yang diuji di Semenanjung Malaysia dan Sarawak.
Projek ini merupakan infrastruktur pertama di Malaysia yang direka khusus mengikut realiti logistik komuniti pulau, serta yang pertama dibina sepenuhnya menggunakan sisa marin kitar semula, bukan sisa industri.
“Kami bukan sekadar membina jalan, tetapi menyelesaikan perangkap sisa pulau. Berbeza dengan projek di tanah besar yang mudah mendapat akses kepada jentera berat dan bahan mentah, penyelesaian kami direka untuk kawasan terpencil di mana kos membawa masuk konkrit adalah tinggi, sedangkan sisa plastik pula banyak dihasilkan,” kata Michelle.
Menurutnya, visi inisiatif itu adalah menangani dua cabaran utama Sabah secara serentak, iaitu keadaan jalan luar bandar yang daif dan krisis sisa plastik yang semakin meningkat.
“Kami telah membuktikan sisa laut boleh dijadikan infrastruktur tahan lasak. Kini, kami bersedia untuk dikembangkan,” katanya.




