HomePendapatBelanjawan 2026 - Keupayaan Mandat Baharu Menterjemah Kesejahteraan Rakyat

Belanjawan 2026 – Keupayaan Mandat Baharu Menterjemah Kesejahteraan Rakyat

Read Time:5 Minute, 1 Second

Oleh Wan Azrain Adnan

Belanjawan Sabah 2026 bakal memacu pembangunan ekonomi dan sosial Sabah. Dengan jumlah peruntukan yang besar, Belanjawan Sabah 2026 boleh melonjakkan momentum pencapaian agenda Sabah Maju Jaya (SMJ).  

Minggu lalu , Menteri Kewangan Sabah telah membentangkan Belanjawan Sabah 2026. Ini merupakan belanjawan pertama Kerajaan Sabah GRS setelah memenangi mandat baru pada Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 pada penghujung bulan November 2025. 

Dengan tema ‘Memacu Pembangunan, Kesejahteraan Rakyat DiUtamakan’, Belanjawan Sabah 2026 dirangka berteraskan 5 tonggak utama: mempercepatkan pembangunan sektor-sektor produktif; menangani ketidakseimbangan sosioekonomi dan meningkatkan taraf hidup; memperkasa pembangunan modal insan; meningkatkan pembangunan pemboleh daya (enablers); meningkatkan kecekapan sistem penyampaian Kerajaan Sabah.     

Secara keseluruhan, di bawah Belanjawan Sabah 2026, anggaran Hasil Pendapatan ialah RM 6.43 bilion, dan anggaran Perbelanjaan adalah RM 6.402 bilion, seterusnya menghasilkan Belanjawan Lebihan atau Surplus Budget berjumlah RM 28 juta.

Walaupun Belanjawan Sabah 2026 adalah kecil sedikit berbanding Belanjawan Sabah 2025, ianya masih merupakan antara belanjawan terbesar di dalam sejarah Sabah, dan kekal sebagai Belanjawan Lebihan.

PerkaraBelanjawan 2021Belanjawan 2022Belanjawan 2023Belanjawan 2024Belanjawan 2025Belanjawan 2026
Pendapatan (bilion)RM 4.481RM 4.707RM 5.268  RM 5.737RM 6.445RM 6.430
Perbelanjaan (bilion)RM 4.303RM 4.596RM 5.138  RM 5.701RM 6.421RM 6.402

Memandangkan sumber pendapatan Sabah masih bergantung tinggi kepada komoditi minyak mentah petroleum (CO) dan minyak sawit mentah (CPO), anggaran Hasil Pendapatan bagi tahun 2026 dijangka menurun sedikit berikutan harga CO yang rendah ketika ini, di bawah paras USD$ 65.

Namun begitu, bagi tahun 2025, kutipan sebenar Hasil Pendapatan Sabah dijangka meningkat sebanyak RM 212.76 juta (3.3%) kepada RM 6.658 billion, berbanding anggaran asal RM 6.445 bilion. Peningkatan ini di dorong oleh Cukai Jualan Negeri (CJN), Terimaan serta Sumbangan Kerajaan Persekutuan, Faedah dan Perolehan Pelaburan serta Premium Jualan Tanah-Umum.

Bagi tahun 2026, anggaran Hasil Pendapatan RM 6.430 bilion merangkumi Hasil Cukai, Hasil Bukan Cukai dan Terimaan Bukan Hasil, di mana Cukai Jualan Negeri (CJN) adalah sumber terbesar:

Hasil PendapatanJumlahMaklumat
Hasil CukaiRM 2.771 bilionCukai Jualan Negeri (CJN): RM 2.614 bilion Sewa Tanah: RM 120.00 Cukai Pelabuhan dan Dermaga: RM 37.50 juta
Hasil Bukan CukaiRM 2.348 bilionRoyalti Petroleum: RM 1.075 bilion Royalti Bayaran Keluaran Hutan dan Eksport Kayu Diproses: RM 132.70 juta Faedah dan Perolehan dari Pelaburan: RM 490.31 juta Jualan Air: RM 308.00 juta Premium Tanah: RM 160.00 juta
Terimaan Bukan HasilRM 1.311 bilionTerimaan dan Sumbangan daripada Kerajaan Persekutuan berjumlah: RM 1.161 bilion Terimaan-Terimaan Lain: RM 150.00 juta

Sementara itu, selari dengan hasrat Kerajaan Sabah untuk mempercepat pembangunan Sabah, nisbah di antara Perbelanjaan Pengurusan dan Pembangunan dijangka dapat diturunkan dengan agak ketara: 86% (2024), 85% (2025), 78% (2026). Ini bermakna peruntukan lebih besar disalurkan untuk inisiatif pembangunan bagi kesejahteraan rakyat Sabah.

Pecahan anggaran Perbelanjaan (RM 6.402 bilion) tahun 2026 adalah: Mengurus (RM 5.202 bilion) dan Pencaruman Kepada Kumpulan Wang Pembangunan (RM 1.2 bilion).

Secara keseluruhan, anggaran Perbelanjaan Pembangunan Sabah 2026 berjumlah RM 1.865 bilion, merangkumi peruntukan Kerajaan Sabah (RM 1.468 bilion) serta Pinjaman dan Bayaran Balik Kerajaan Persekutuan (RM 397.21 juta). Bagi peruntukan Kerajaan Sabah (RM 1.468 bilion), pecahan sektor adalah:

  • Ekonomi : RM 996.47 juta (67.90%)
  • Sosial : RM 345.77 juta (23.56%)
  • Pentadbiran Am : RM 125.40 juta (8.54%)

Untuk memperkasa agenda keterjaminan makanan dan meningkat Kadar Sara Diri tanaman makanan di Sabah, peruntukan besar RM 559.85 juta disediakan kepada Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI).

Manakala, sejumlah RM 249.19 juta disediakan untuk merancakkan pembangunan sektor Perindustrian, dengan meningkatkan promosi menarik pelaburan dan menggiatkan aktiviti perdagangan di Sabah. Untuk pembangunan sektor Pelancongan pula, sejumlah RM 174.45 juta disediakan kepada Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS), terutamanya sebagai persediaan Tahun Melawat Malaysia 2026.

Memahami kepentingan ilmu dan kemahiran, Kerajaan Sabah menyediakan RM 437.93 juta bagi agenda pembangunan modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi. Ini akan dapat meningkatkan kesejahteraan ekonomi dan sosial rakyat Sabah, dan seterusnya memecahkan putaran penjara kemiskinan bergenerasi atau generational poverty cycle.    

Pada tahun 2026, Kerajaan Sabah akan memperkenalkan inisiatif Bantuan Pendaftaran Yuran MUET (BAYU) sebanyak RM150 seorang, yang bakal memberi manfaat kepada 8,458 pelajar yang akan menduduki peperiksaan Malaysian University English Test (MUET).

Pada masa sama, Kerajaan Sabah akan meneruskan inisiatif pendidikan sedia ada bagi membantu anak Sabah, antaranya: Bantuan Tunai Pendaftaran IPT secara One Off (BUDI); Bantuan Ihsan Komputer (BAIK); Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI); Bantuan Tiket Penerbangan Pelajar Sabah (SUBFLY), Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Sabah (SENTOSA).

Tambahan lagi, Kerajaan Sabah turut menyediakan RM 26.06 juta untuk Program Bantuan Sosial Sekolah iaitu bantuan pakaian seragam, kasut sekolah dan alat tulis yang akan memberi manfaat kepada 227,660 pelajar di 1,074 buah sekolah di seluruh Sabah.

Selain itu, Kerajaan Sabah akan meneruskan momentum kejayaan agenda pembasmian kemiskinan. Setakat 3 November 2025, data e-Kasih menunjukkan Sabah telah berjaya mencapai sifar Ketua Isi Rumah (KIR) miskin tegar. Walaubagaimanapun, Sabah masih merekodkan 55,782 KIR berstatus miskin.

Namun begitu, jumlah kemiskinan di Sabah dijangka meningkat sehingga 30% apabila Kadar Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) yang baru mula diguna pakai pada tahun 2026.    

Justeru itu, antara lain, Kerajaan Sabah akan meneruskan dan memperluaskan Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR), iaitu bantuan kewangan RM 300 sebulan yang melibatkan 100,000 penerima golongan miskin dan miskin tegar.

Seiringan itu, Kerajaan Sabah akan menambah bilangan kuota Rumah Mesra SMJ dari 40 buah kepada 50 buah bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN). Penambahan ini dikhaskan kepada mereka yang berumur 40 tahun ke bawah yang telah berumah tangga dan tidak memiliki rumah.

Kerajaan Sabah juga akan memberi Bantuan Subsidi Bayaran Deposit Rumah Pertama kepada golongan muda yang daif.

Di bawah Belanjawan Malaysia 2026, Sabah telah diberikan peruntukan sebanyak RM 6.9 bilion. Bersama Belanjawan Sabah 2026 (RM 6.402 bilion), jumlah keseluruhan perbelanjaan untuk Sabah pada tahun 2026 adalah RM 13.302 bilion. Jumlah besar ini sudah pasti akan merancakkan pembangunan ekonomi dan sosial Sabah, serta melonjakkan kesejahteraan rakyat.

RELATED ARTICLES
Utama

SSA raih tempat ketiga dalam kejohanan menembak antarabangsa

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular