KOTA KINABALU: Cement Industries (Sabah) Sdn. Bhd. (CIS) hari ini menyampaikan sumbangan sebanyak RM1.0 juta untuk Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS).
Replika cek sumbangan tersebut telah diserahkan oleh Pengerusi CIS, Datuk Japlin Akim kepada Pengerusi Bersama TPNS, Datuk Seri Ghulamhaidar Khan Bahadar dan disaksikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor pada majlis ringkas di pejabat Ketua Menteri di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
Turut hadir menyaksikan penyerahan cek tersebut adalah Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Negeri,Datuk Seri Masidi Manjun, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Mohd Arifin Datuk Mohd Arif,selaku Pengerusi TPNS dan Pengurus Besar CIS, Sumardi Mohd Yusof.
Menurut Sumardi, sumbangan kepada TPNS merupakan usaha CIS sebagai sebuah syarikat Kerajaan Negeri (GLC) dalam mendokong inisiatif penting Kerajaan Negeri untuk melengkapkan anak-anak Sabah dengan pendidikan tinggi, disamping memperkasa sumber manusia Sabah sejajar dengan visi untuk melahirkan insan cemerlang dan berilmu.



