KUALA LUMPUR, — Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan melaksanakan Peruntukan Deeming di bawah Seksyen 46A Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998) terhadap penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial berskala besar mulai 1 Januari 2026, sebagai langkah memperkukuh keselamatan dalam talian khususnya bagi kanak-kanak dan keluarga.
MCMC dalam taklimat media memaklumkan bahawa peruntukan tersebut terpakai kepada penyedia perkhidmatan yang mempunyai lapan juta atau lebih pengguna di Malaysia, yang akan disifatkan berdaftar secara automatik sebagai pemegang Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP(C)), tanpa perlu melalui proses pendaftaran formal.
Menurut MCMC, pelaksanaan itu melibatkan platform yang memenuhi kriteria ditetapkan, termasuk WhatsApp, Telegram, Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube.
“Langkah ini bertujuan memastikan semua platform berskala besar beroperasi dalam kerangka perundangan dan kawal selia Malaysia secara teratur, konsisten dan berkesan,”
MCMC berkata pelaksanaan Peruntukan Deeming juga bertujuan menutup jurang pengawalseliaan, khususnya terhadap penyedia perkhidmatan yang beroperasi dari luar negara, di samping mengukuhkan akauntabiliti platform serta pematuhan terhadap undang-undang Malaysia.
Selain itu, ia turut memastikan penyedia perkhidmatan memikul tanggungjawab yang lebih jelas terhadap keselamatan pengguna, terutama dalam melindungi kanak-kanak dan keluarga daripada risiko dalam talian.
Dari segi kesan kepada pengguna, MCMC menjelaskan bahawa platform terbabit akan tertakluk kepada obligasi undang-undang Malaysia seperti penyedia perkhidmatan lain, sekali gus membolehkan tahap keselamatan dalam talian diperkukuh melalui tanggungjawab platform yang lebih jelas dan boleh dikuatkuasakan.
“Pengguna, khususnya kanak-kanak dan keluarga, akan mendapat perlindungan yang lebih baik daripada pelbagai risiko dalam talian
MCMC turut menegaskan bahawa pelaksanaan peruntukan itu tidak menjejaskan operasi platform terbabit, yang akan terus beroperasi seperti biasa melalui platform global masing-masing.
Bagaimanapun, penyedia perkhidmatan asing perlu melantik wakil tempatan bagi tujuan pematuhan, walaupun tiada kewajipan untuk membuka pejabat fizikal di Malaysia.
Menurut kenyataan itu, penyedia perkhidmatan yang telah berdaftar sebagai pemegang lesen ASP(C) sebelum ini akan kekal berdaftar sehingga tempoh pendaftaran sedia ada tamat.
MCMC menambah bahawa pelaksanaan Peruntukan Deeming tersebut adalah selari dengan pendekatan dan amalan antarabangsa dalam mengawal selia platform dalam talian berskala besar, khususnya bagi memastikan akauntabiliti serta keselamatan pengguna di peringkat global.



