HomeUtamaKebajikan Guru KAFA, Bomba Sukarela Sabah perlu diberi perhatian – ADUN Banggi

Kebajikan Guru KAFA, Bomba Sukarela Sabah perlu diberi perhatian – ADUN Banggi

Read Time:1 Minute, 21 Second

KOTA KINABALU: Kebajikan guru-guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) serta anggota bomba sukarela di negeri ini perlu diberi perhatian sewajarnya bagi menjamin kesejahteraan masyarakat di peringkat akar umbi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banggi Datuk Mohammad Mohamarin berkata, peranan guru KAFA amat penting dalam pembentukan sahsiah, nilai keagamaan dan akhlak generasi muda.

Namun katanya, kebajikan mereka termasuk dari segi gaji, kemahiran serta kemudahan sekolah masih perlu ditambah baik.

“Usaha meningkatkan pembangunan modal insan di Sabah tidak seharusnya tertumpu kepada pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya perlu diseimbangkan dengan pembangunan sahsiah dan nilai moral melalui pendidikan agama.

“Kerajaan negeri disaran mengkaji semula tangga gaji guru-guru KAFA serta menaik taraf kemudahan di sekolah-sekolah supaya peranan mereka selari dengan aspirasi pembangunan modal insan Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan Sabah 2026 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini pada Isnin.

Selain isu membabitkan peranan guru KAFA, beliau turut membangkitkan isu kebajikan dan keperluan bomba sukarela yang banyak berkhidmat di kawasan pedalaman Sabah, termasuk di Pulau Banggi.

Katanya, kekurangan jentera, kemudahan asas serta elaun yang terhad menyebabkan anggota bomba sukarela sering berdepan kesukaran ketika menjalankan tugas menyelamat.

Beliau mencadangkan agar kerajaan negeri melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mempertimbangkan penubuhan bomba sukarela berstatus rasmi serta menilai kemungkinan menempatkan anggota terlibat sebagai penjawat awam negeri.

Cadangan itu, jelasnya, penting bagi memastikan kesiapsiagaan menghadapi kecemasan, khususnya selepas kejadian kebakaran besar di Pulau Banggi pada tahun 2019 yang memusnahkan puluhan rumah akibat ketiadaan perkhidmatan bomba yang berfungsi.

“Perkhidmatan bomba yang lengkap dan terlatih amat diperlukan demi keselamatan nyawa dan harta benda penduduk luar bandar,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

44 murid SK Sembulan sertai program khatan beramai-ramai

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular