KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah digesa untuk meneroka dan membangunkan sumber mineral serta galian yang terdapat di negeri ini secara menyeluruh sebagai langkah strategik untuk memperluas sumber hasil baharu dan mengukuhkan ekonomi negeri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut Datuk Masiung Banah berkata, kebergantungan Sabah terhadap sektor tradisional seperti kelapa sawit dan petroleum dilihat semakin terdedah kepada turun naik harga pasaran global, manakala hasil kayu balak pula semakin berkurangan.
Katanya, Sabah bukan sahaja memiliki sumber emas, malah turut mempunyai pelbagai bahan mineral dan galian lain yang berpotensi dimajukan secara berperingkat dan terancang demi manfaat jangka panjang rakyat negeri ini.
“Sehubungan itu, kerajaan negeri disaran mengambil contoh Sarawak yang telah berani meneroka sumber mineral secara agresif tetapi terkawal.
“Ini sekali gus membuktikan bahawa pembangunan sektor galian boleh dilaksanakan tanpa menjejaskan kelestarian alam sekitar jika dikawal selia dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan perbahasan Belanjawan Sabah 2026 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini pada Isnin.
Masiung berkata, kebimbangan terhadap isu pencemaran tidak seharusnya menjadi penghalang mutlak kepada pembangunan sumber mineral, sebaliknya perlu ditangani melalui mekanisme kawal selia yang ketat, penggunaan teknologi moden dan pemantauan berterusan oleh agensi berkaitan.
Katanya, pembangunan sektor mineral dilihat mampu membuka peluang pekerjaan, meningkatkan hasil negeri serta memastikan kekayaan sumber bumi Sabah dapat dinikmati secara adil oleh rakyat tempatan.
Dalam pada itu, Masiung berkata, Belanjawan negeri yang berpaksikan Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang memberi penekanan kepada pembangunan jangka panjang, khususnya dalam memperkasa pendidikan, kebajikan rakyat serta memperkukuh asas ekonomi negeri.
Katanya, Kerajaan negeri menggariskan beberapa teras utama dalam belanjawan, antaranya pembangunan modal insan sebagai pelaburan strategik bagi masa depan Sabah.
Menurutnya, pelbagai inisiatif pendidikan diteruskan termasuk bantuan kewangan kepada pelajar Tingkatan 5 dan Tingkatan 6, pelajar diploma serta ijazah, selain peluang kepada penjawat awam untuk melanjutkan pelajaran dan menimba pengalaman di luar negara. – SABAH MEDIA / FOTO JAPEN



