HomeUtamaPenggantian paip, pembaikan jalan perlu dipercepat – Shah Alfie

Penggantian paip, pembaikan jalan perlu dipercepat – Shah Alfie

Read Time:2 Minute, 41 Second

KOTA KINABALU: Kerja-kerja penggantian paip dan penstabilan tekanan air serta pembaikan jalan di Tanjung Keramat perlu dipercepat bagi memastikan rakyat menikmati bekalan air lebih stabil dan infrastruktur yang selamat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya berkata kerajaan telah menunjukkan komitmen serius terhadap isu bekalan air dengan peruntukan pembangunan siling RM1.77 bilion di bawah RMKe-13 untuk Jabatan Air Sabah serta peruntukan RM848 juta bagi tahun 2026.

“Di peringkat kawasan, kami bertekad untuk membantu mengurangkan gangguan air. Oleh itu, saya menyeru dan memohon kerjasama erat Jabatan Air Negeri Sabah untuk turun padang.

“Kita perlu mengenal pasti titik paling strategik untuk pemasangan injap tekanan sementara dan menggantikan paip-paip usang serta-merta,” katanya ketika membahaskan Belanjawan Sabah 2026 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.

Beliau menggesa agar kerja-kerja penggantian paip dan penstabilan tekanan air di kawasan-kawasan seperti Kampung Contoh, Kampung Muhibbah, Taman Pantai Lok Kawi, Kawasan Pasir Putih dan sekitarnya dapat disegerakan.

“Penyelesaian pantas ini penting untuk memastikan rakyat dapat menikmati bekalan air yang lebih stabil dan bersih,” katanya.

Shah Alfie juga menyambut baik peruntukan RM600.69 juta kepada Jabatan Kerja Raya (JKR), memandangkan jalan raya merupakan nadi perhubungan rakyat.

“Di Tanjung Keramat, masalah utama bukan sahaja kekurangan peruntukan tetapi juga masalah birokrasi pendaftaran jalan. Banyak jalan kampung dan lorong perumahan masih belum didaftarkan dalam sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) atau aset Majlis. Apabila aduan dibuat, jawapan yang seringkali diterima adalah ‘Ini bukan seliaan kami’,” katanya.

Beliau menegaskan, JKR dan pihak Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu bersikap proaktif, melakukan audit segera, mendaftarkan jalan-jalan tersebut dan menggunakan dana penyelenggaraan untuk kerja-kerja pembaikan dengan lebih efisien.

“Usaha menaik taraf infrastruktur ini pasti meningkatkan kualiti hidup rakyat secara signifikan,” tambahnya.

Selain itu, Shah Alfie menekankan isu lampu jalan yang rosak, di mana tanggungjawab masih berlaku “tolak-menolak” antara JKR dan Majlis, menyebabkan kawasan gelap yang mengundang jenayah dan kemalangan.

“Sama ada dana itu di bawah JKR atau Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) (yang menerima RM230 juta), saya menuntut pembaikan segera. Keselamatan nyawa rakyat Putatan bukan perkara yang boleh ditangguh,” katanya.

Isu pengurusan sampah di kawasan Sabindo turut dibangkitkan, dengan menekankan ketidakcekapan kontraktor. Beliau meminta PBT menggunakan peruntukan kapital RM11.14 juta untuk memantau kontraktor dengan ketat.

“Jika gagal, tamatkan kontrak dan lantik mereka yang benar-benar mahu bekerja,” katanya.

Menyentuh mengenai Pembangunan Ekonomi, Shah Alfie berkata, Tanjung Keramat mempunyai potensi ekonomi tempatan yang luar biasa.

“Seperti yang saya gariskan dalam Pelan Tindakan, kami bercadang melancarkan inisiatif “Meja Ekonomi Tanjung Keramat” yang berfungsi sebagai platform sehenti untuk memudahkan urusan bantuan usahawan. Sasaran kami adalah untuk membantu usahawan mikro melalui bantuan modal kecil dan peralatan.

“Justeru, pengumuman Menteri Kewangan mengenai penerusan Program Bantuan SME-UP dengan peruntukan RM15 juta adalah berita yang amat menggembirakan. Saya melihat ini sebagai satu sinergi yang sempurna. Di peringkat kawasan, kami akan bertindak sebagai pemudah cara agar mereka dapat mengakses dana SME-UP. Kita mahu memastikan tiada seorang pun peniaga kecil yang tercicir daripada menikmati manfaat ekonomi ini,” katanya.

Sebagai wakil rakyat Tanjung Keramat, Shah Alfie berikrar untuk berganding bahu dengan kerajaan negeri memastikan setiap peruntukan memberi manfaat kepada rakyat.

“Dengan penuh keyakinan dan harapan, saya mohon menyokong Rang Undang-Undang ini,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Penjenamaan semula kementerian lonjak hala tuju pembangunan Sabah – Ghulam

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular