HomeUtamaSegera tangani isu air di Sungai Manila - Hazem

Segera tangani isu air di Sungai Manila – Hazem

Read Time:1 Minute, 0 Second

KOTA KINABALU : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manila, Hazem Mubarak Musa mahu gangguan bekalan air bersih yang masih menjejaskan kehidupan harian penduduk di kawasan itu ditangani segera.

Dalam perbahasan Belanjawan Negeri Sabah 2026 di Dewan Undangan Negeri (DUN), beliau memuji peruntukan besar sebanyak RM848 juta yang diberikan kepada Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) untuk perbelanjaan mengurus dan pembangunan.

Bagaimanapun, beliau menekankan bahawa realiti di Sungai Manila masih mencabar.

“Masih ada kampung yang airnya menitis perlahan, dan ada kalanya kering berhari-hari. Ini adalah keperluan asas manusia. 

“Kita tidak boleh bercakap mengenai digitalisasi atau ekonomi biru sekiranya rakyat bangun pagi dan tiada air untuk mandi atau memasak,” katanya.

Hazem menuntut agar sebahagian daripada peruntukan pembangunan JANS disalurkan secara spesifik dan segera untuk menyelesaikan masalah tekanan air rendah dan paip usang di kawasan Sungai Manila.

Beliau menekankan kepentingan penukaran paip lama yang sering pecah, yang menyumbang kepada kadar air tidak berhasil (NRW) yang tinggi.

Katanya, rakyat Sungai Manila memerlukan jaminan berkesan, bukan alasan teknikal, agar bekalan air bersih dapat dinikmati tanpa gangguan.

“Segala perancangan di atas kertas hanya bermakna jika ia diterjemahkan kepada tindakan segera di lapangan.

“Rakyat menuntut penyelesaian yang konkrit, bukan janji kosong,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Geran RM2 juta dicadangkan untuk sokong latihan BIM di Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular