Oleh Normimie Diun
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah memberi jaminan bahawa Belanjawan Sabah 2026 bukan sahaja mengiktiraf pencapaian atlet negeri di peringkat kebangsaan, malah menitikberatkan kebajikan, masa depan serta kelangsungan hidup atlet selepas menamatkan kerjaya sukan.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif (MYSpaCE), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan Belanjawan Sabah 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini, Selasa.
Beliau menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Api-Api, Loi Kok Liang yang membangkitkan sama ada Belanjawan Sabah 2026 mengambil kira kebajikan serta hala tuju atlet negeri, khususnya atlet Sukan Malaysia (SUKMA), Para SUKMA, Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA), Malaysia Deaf Sports Games (MDSG) dan atlet yang mewakili negara.
Menurut Nizam, Kerajaan Negeri menyediakan pelbagai insentif termasuk insentif kemenangan dan insentif mewakili negara, di samping tambahan 50 peratus daripada kadar insentif persekutuan.
Selain itu, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) turut disediakan kepada atlet SUKMA dan Para SUKMA, manakala bekas atlet diberikan sokongan keusahawanan melalui Dana Belia SYABAS serta peluang pekerjaan.
“Atlet juga diberi laluan khas untuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam dan swasta, selain keutamaan dalam peluang pekerjaan di agensi Kerajaan Negeri,” katanya.
Dalam usaha memperkukuh pembangunan sukan di peringkat akar umbi, Kerajaan Negeri turut memperkasa institusi sukan komuniti termasuk yang dikendalikan pihak swasta melalui penyediaan Bantuan Geran Khas KBSK dan Geran Persatuan Sukan Negeri berjumlah RM5 juta.
Beliau berkata, pengwujudan Pusat Latihan Negeri di bawah Majlis Sukan Negeri Sabah serta bantuan peralatan sukan kepada Sekolah Sukan Malaysia Sabah turut dilaksanakan bagi memastikan pencarian dan pembangunan bakat sukan berjalan secara berterusan.
Selain itu, peruntukan bantuan turut disalurkan kepada atlet Sabah yang menuntut di Sekolah Sukan Malaysia di Sabah, Johor, Kuala Lumpur dan Pahang, termasuk bantuan penyertaan kejohanan dan penyediaan peralatan sukan.
Tambah Nizam, kementeriannya juga merancang untuk melancarkan Tabung Kebajikan Atlet sebagai langkah membantu atlet dan bekas atlet Sabah yang memerlukan.
“Pendekatan menyeluruh ini diyakini mampu membina ekosistem sukan yang mampan, inklusif dan berdaya saing di Sabah,” katanya.



