HomeUtamaPRK Lamag, Kinabatangan: GRS beri bayangan tidak bertanding – Hajiji

PRK Lamag, Kinabatangan: GRS beri bayangan tidak bertanding – Hajiji

Read Time:1 Minute, 13 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor memberi bayangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak akan bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag dan Parlimen Kinabatangan.

Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata, keputusan itu akan dibincangkan dalam GRS, namun kemungkinan besar gabungan tersebut memilih untuk memberi laluan.

“Kita akan bincang dalam GRS, tetapi kemungkinan besar kita tidak akan bertanding,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, pada Selasa.

PRK bagi kedua-dua kerusi itu dijangka diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, pada 5 Disember lalu. Allahyarham merupakan Ahli Parlimen Kinabatangan, ADUN Lamag serta Pengerusi UMNO Sabah.

Menurut Hajiji, GRS menghormati parti yang memenangi kerusi berkenaan sebelum ini dan kebetulan UMNO berada dalam kerajaan negeri ketika ini.

“Kita akan beri penghormatan kepada parti yang menang. Jadi itu yang boleh saya cakap setakat ini,” katanya.

Beliau berkata, GRS juga bersedia memberi laluan dan membantu UMNO bagi memastikan kemenangan dalam PRK berkenaan.

“Saya akan berbincang dengan Presiden UMNO dan juga Pengerusi Barisan Nasional,” katanya.

Ditanya sama ada keputusan itu melibatkan kedua-dua kerusi, Hajiji berkata perkara itu masih dalam perbincangan, namun prinsip memberi laluan tetap menjadi pendirian GRS.

“Tunggulah perbincangan nanti,” katanya.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini, menetapkan hari penamaan calon bagi PRK kerusi DUN Lamag dan Parlimen Kinabatangan pada 10 Januari 2026, diikuti pengundian awal pada 20 Januari 2026, manakala hari mengundi ditetapkan pada 24 Januari 2026.

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah tingkatkan usaha tangani sekolah daif – James Ratib

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular