KOTA KINABALU: Sabah memperketatkan Prosedur Operasi Standard (SOP) keselamatan bagi aktiviti pelancongan, khususnya melibatkan aktiviti rekreasi air, sebagai langkah proaktif bagi menjamin keselamatan pelancong yang berkunjung ke negeri ini.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Jafry Ariffin berkata, langkah itu diambil susulan beberapa insiden yang berlaku sejak dua tahun kebelakangan ini selain peningkatan ketara jumlah pelancong ke Sabah, khususnya dari pasaran antarabangsa.
Katanya, antara inisiatif utama yang dilaksanakan ialah pensijilan pemandu ‘Stand Up Paddle’ (SUP) bagi aktiviti yang semakin popular dalam kalangan pelancong, terutama dari China, dan sering dijalankan di kawasan Tanjung Aru.
“Pensijilan ini bertujuan memastikan pengendali dan pemandu aktiviti mempunyai kemahiran, pengetahuan keselamatan serta kefahaman risiko yang mencukupi sebelum membawa pelancong menjalankan aktiviti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini pada Selasa.
Jafry berkata, kerajaan negeri turut mewujudkan SOP khusus bagi beberapa aktiviti pelancongan, terutamanya melibatkan aktiviti rekreasi air, bagi memastikan pematuhan terhadap piawaian keselamatan yang lebih ketat dan seragam.
Katanya, dalam usaha meningkatkan kesedaran keselamatan, bahan maklumat dan video keselamatan juga sedang dibangunkan dan akan ditempatkan di pintu masuk produk pelancongan serta lapangan terbang utama negeri.
Beliau menegaskan bahawa keselamatan pelancong merupakan keutamaan kerajaan negeri dan tidak akan dikompromi walaupun industri pelancongan Sabah sedang mencatatkan prestasi yang memberangsangkan.
“Langkah ini penting bagi memastikan Sabah kekal sebagai destinasi pelancongan yang selamat, berkualiti dan berdaya saing di peringkat antarabangsa,” katanya.
Menurutnya lagi, pihaknya berharap pelaksanaan SOP yang lebih ketat ini bukan sahaja dapat mengurangkan risiko kemalangan, malah meningkatkan tahap keyakinan pelancong terhadap industri pelancongan Sabah secara keseluruhan. – SABAH MEDIA



