Oleh Normimie Diun
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah komited dan serius menangani isu berkaitan pemilikan tanah, penempatan rakyat serta pengurusan tanah Felda bagi memastikan hak dan kebajikan rakyat terus terpelihara.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, komitmen itu dizahirkan melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif dan tindakan susulan oleh Jabatan Tanah dan Ukur bagi mempercepat proses pengukuran, pewartaan serta penyerahan hak milik tanah kepada rakyat.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan perbahasan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini, pada Rabu.
Menurutnya, Belanjawan Negeri Sabah 2026 yang bertemakan Memacu Pembangunan, Kesejahteraan Rakyat Diutamakan telah dibentangkan dan dibahaskan dengan bernas, sekali gus mencerminkan komitmen semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam memastikan dasar serta peruntukan yang dirangka benar-benar memberi manfaat kepada rakyat dan negeri.
Katanya, perbahasan selama dua hari itu turut memperlihatkan kesungguhan semua pihak meneliti aspek pembangunan ekonomi dan infrastruktur, kesejahteraan rakyat, penyampaian perkhidmatan awam, pembaharuan pentadbiran serta pengurusan kewangan negeri, selari dengan prinsip tadbir urus yang telus dan berkesan.
Mengulas isu yang dibangkitkan ADUN Sook, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, berkaitan pemilikan tanah dan perkampungan penduduk, Hajiji berkata sebahagian besar geran tanah NT di daerah itu telah diserahkan kepada pemilik melalui beberapa siri majlis penyerahan di lapangan.
Menurutnya, sepanjang tahun 2020 hingga 30 November 2025, sebanyak 2,649 lot hak milik melibatkan keluasan 11,121.25 hektar tanah NT telah diserahkan kepada pemilik di 19 kampung di daerah Sook.
“Kerajaan negeri melalui Jabatan Tanah dan Ukur juga sedang giat melaksanakan pengukuran lot-lot tanah anak negeri di Kampung Sendukut Baru dan Kampung Sinaron dengan keluasan dianggarkan 3,200 hektar melibatkan unjuran 637 lot,” katanya.
Selain itu, beliau memaklumkan sebanyak 15 kampung di daerah Sook telah selesai diukur sepanjang tempoh sama, dengan sembilan daripadanya telah diwartakan sebagai Tanah Rizab Kediaman Anak Negeri, manakala enam lagi masih dalam proses perwartaan di bawah Seksyen 78 Ordinan Tanah Sabah.
Berhubung isu yang dibangkitkan ADUN Darau mengenai pemindahan enam keluarga di Kampung Likas dan pengambilan sebahagian tanah CL 015669799 seluas dua ekar, Hajiji berkata kawasan penempatan itu telah diwartakan di bawah Seksyen 3 Ordinan Pengambilan Tanah melalui Warta Kerajaan GN 210-2025 bertarikh 5 Jun 2025 dan diulang melalui warta kerajaan pada 12 Jun 2025.
“Notis pengambilan tanah serta surat tawaran bertarikh 30 Jun 2025 juga telah disampaikan kepada pemilik terlibat,” katanya sambil memaklumkan Jabatan Tanah dan Ukur kini dalam proses merancang pengukuran lot-lot penempatan sebelum pelan dikemukakan kepada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut.
Menjawab isu yang dibangkitkan ADUN Tungku, Assaffal Alian, Hajiji berkata pengukuran tanah anak negeri telah dilaksanakan di beberapa kampung dalam DUN berkenaan termasuk Kampung Tanjung Batu, Kampung Tanjung Labian, Kampung Nala, Kampung Membatu, Kampung Batu-Batu, Kampung Terlibas, Kampung Merabung, Kampung Terlisai, Kampung Bongi Gon, Kampung Bangkarat, Kampung Sungai Merah dan Kampung Sinakot.
Menurutnya, pengukuran tersebut melibatkan 108 hak milik geran tanah NT dengan keluasan keseluruhan 89.22 hektar yang telah diserahkan kepada pemilik, selain 215 draf geran NT melibatkan keluasan 279.42 hektar yang telah siap dan sedia diserahkan.
Tambah beliau, pengukuran tanah anak negeri turut dilaksanakan di Kampung Makuau, Kampung Pesusul dan Kampung Tinagian dengan unjuran 315 lot tanah, yang dijangka siap sepenuhnya menjelang Jun 2026.
Mengulas isu skim kebun kecil Bagahak yang turut dibangkitkan ADUN Tungku, Hajiji berkata skim berkenaan melibatkan keluasan keseluruhan 30,804 ekar dengan 2,079 lot diperuntukkan.
“Setakat ini, sebanyak 934 geran telah didaftarkan, 1,148 geran masih di peringkat draf manakala 931 geran lagi sedang dalam proses penyediaan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan sebanyak 871 geran tanah bagi lot pertanian Felda telah disediakan dan kini dalam proses pindah milik kepada peneroka oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) sebelum diserahkan kepada peneroka Felda Sahabat.
Selain itu, pengukuran pecah bahagi tanah CL 115501601 juga telah dilaksanakan, melibatkan penyediaan 907 geran bagi lot perumahan peneroka serta lot kegunaan awam yang akan didaftarkan kepada Felda terlebih dahulu sebelum proses pindah milik kepada peneroka dibuat.
Menjawab kebimbangan ADUN Tungku mengenai ketepatan maklumat penyerahan geran dan isu birokrasi Felda, Hajiji menegaskan beliau akan menyemak semula maklumat yang diberikan oleh Jabatan Tanah dan Ukur.
“Saya akan siasat dan semak semula. Jika maklumat ini tidak tepat, ia perkara serius dan tindakan akan diambil,” katanya.
Sementara itu, menjawab isu yang dibangkitkan ADUN Gum-Gum, Arunarsin Taib, Hajiji berkata pengukuran lot tanah di Kampung Garinono dan Kampung Kitagas telah dilaksanakan melibatkan sebanyak 513 lot.
Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak 158 lot telah dikeluarkan hak milik manakala baki lot masih dalam proses pengesahan dan kelulusan berikutan beberapa isu termasuk pertindihan permohonan, pertikaian tanah, tuntutan hak adat anak negeri serta penjualan lot secara tidak sah.
“Kerajaan negeri melalui Jabatan Tanah dan Ukur akan terus memberi keutamaan untuk memproses permohonan tanah berdasarkan perundangan dan prosedur berkuat kuasa bagi memastikan hak pemohon dilindungi,” katanya.



