Oleh Normimie Diun
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah komited memperkasa Dasar Ekonomi Biru negeri sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi baharu yang mampan, termasuk penerokaan teknologi tenaga boleh diperbaharui Ocean Thermal Energy Conversion (OTEC).
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) telah mengemukakan pertanyaan, pandangan dan saranan berkaitan pelaksanaan Ekonomi Biru ketika sesi penggulungan perbahasan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini, pada Rabu.
Mengulas isu OTEC yang dibangkitkan ADUN Sook, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, Hajiji berkata Kerajaan Negeri melalui Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) telah memulakan penerokaan tenaga boleh diperbaharui itu dan kini berada dalam fasa kajian pelaksanaan di kawasan Pantai Timur Sabah.
Menurutnya, projek berkenaan melibatkan tiga syarikat pemaju tempatan dan dijangka siap pada tahun 2027.
“Dari segi peruntukan, pembangunan teknologi OTEC ini akan dilaksanakan sepenuhnya melalui pelaburan pihak pemaju sendiri. Kerajaan Negeri tidak akan mengeluarkan sebarang dana kerana kita menggalakkan pembangunan inisiatif Ekonomi Biru yang dipacu oleh sektor swasta,” katanya.
Menjawab persoalan ADUN Sulabayan, Datuk Dr Jaujan Sambakong mengenai kesiapsiagaan kerajaan negeri dalam mengurus penerokaan Ekonomi Biru, Hajiji menegaskan bahawa Sabah telah menyediakan asas perundangan dan institusi yang kukuh.
Katanya, perkara itu dibuktikan melalui kelulusan Enakmen OTEC 2024 serta pindaan kepada Enakmen Suruhanjaya Tenaga Sabah pada April 2024 bagi memperkukuh tadbir urus dan pelaksanaan sektor berkenaan.
Beliau turut memaklumkan bahawa sebanyak 15 industri Ekonomi Biru telah dikenal pasti berdasarkan senarai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), merangkumi penuaian sumber hidup seperti bioteknologi marin dan makanan laut; perdagangan dan perniagaan di dalam dan sekitar laut termasuk pengangkutan, perdagangan, pelancongan dan rekreasi; serta aktiviti berkaitan sungai seperti logistik, hidupan sungai, tenaga dan pelancongan.
Selain itu, sektor Ekonomi Biru turut meliputi tindak balas terhadap cabaran kesihatan laut termasuk perlindungan pesisir pantai, pelupusan sisa, pengasingan karbon serta pemantauan dan pengawasan laut, selain pengekstrakan sumber tidak hidup dan penjanaan sumber baharu seperti air industri, tenaga dan mineral.
Dalam perkembangan berkaitan, Hajiji berkata Kerajaan Negeri telah memeterai perjanjian dengan sebuah syarikat swasta bagi membangunkan Landing Port Tuna di Kota Kinabalu bernilai RM360 juta.
“Dalam projek ini, Kerajaan Negeri tidak mengeluarkan sebarang peruntukan tetapi memperoleh 30 peratus kepentingan dalam industri Landing Port Tuna tersebut,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa pembangunan Ekonomi Biru Sabah dilaksanakan secara inklusif dan berteraskan keterlibatan awam, bukan terhad kepada peringkat kerajaan atau kolaborasi universiti semata-mata.
Menurutnya, penganjuran Sabah International Blue Economy Conference (SIBEC) 2024 yang menghimpunkan lebih 4,000 peserta tempatan dan antarabangsa membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam melibatkan pelajar, penyelidik, graduan, usahawan serta komuniti pesisir.
Selain itu, Program Sabah Blue Economy SkillFest 2025 anjuran bersama HRD Corp dan Kerajaan Negeri yang diadakan pada 19 dan 20 Jun 2025 turut memberi fokus kepada pembangunan kemahiran, inovasi dan pendedahan industri, khususnya kepada golongan muda dan graduan Sabah.
Hajiji berkata, kerajaan negeri juga menganjurkan pelbagai forum interaktif termasuk ASEAN Blue Economy Forum 2025 Exhibition, Consilium: Governan dan Perancangan Marin Spatial (MSP) serta Program Synédrio SMJ bagi memperluas kefahaman dan dialog merentas sektor berkaitan Ekonomi Biru.
“Pendekatan ini memastikan Ekonomi Biru Sabah dibangunkan secara inklusif dengan penglibatan aktif anak muda, graduan universiti dan masyarakat setempat sebagai pemacu kelestarian serta kemakmuran jangka panjang negeri,” katanya.
Menjawab persoalan berhubung penerokaan Ekonomi Biru di sempadan perairan, Hajiji berkata Kerajaan Negeri mengambil pendekatan meneroka potensi ekonomi di perairan negara seperti yang termaktub dalam Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS).
Katanya, Zon Ekonomi Eksklusif Malaysia khususnya bagi Sabah meliputi kawasan sejauh 200 batu nautika dengan anggaran keluasan 334,671 kilometer persegi.



