HomeSukanLadies Picklefest 2025 platform perkasa penglibatan wanita dan remaja

Ladies Picklefest 2025 platform perkasa penglibatan wanita dan remaja

Read Time:1 Minute, 32 Second

KOTA KINABALU: Penganjuran Ladies Picklefest 2025 muncul sebagai platform sukan inklusif dan berstruktur yang memberi tumpuan khusus kepada pemerkasaan penglibatan wanita serta pembangunan bakat pemain junior dalam sukan pickleball di negeri ini.

Presiden Bounce Pickleclub, Zahiera Ismail berkata, penganjuran tersebut bukan sekadar kejohanan sukan, sebaliknya sebuah festival yang menggabungkan elemen kesukanan, kesejahteraan, komuniti dan gaya hidup sihat dalam suasana yang selamat serta menyokong.

“Objektif utama Ladies Picklefest adalah untuk menyediakan ruang yang kondusif kepada wanita dan pemain junior bagi membina keyakinan diri, membentuk karakter serta menyemai semangat kesukanan.

“Ia juga menjadi medium menggalakkan gaya hidup sihat secara menyeronokkan dan inklusif,” katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.

Menurut beliau, pemilihan sukan pickleball adalah bertepatan kerana ia mudah dipelajari, kurang agresif dan sesuai untuk pelbagai peringkat umur, khususnya wanita dan remaja.

Katanya, sukan ini lebih menekankan kemahiran, koordinasi dan strategi berbanding kekuatan fizikal, sekali gus sesuai sebagai sukan pembangunan awal dan penyertaan jangka panjang.

Zahiera berkata, Ladies Picklefest 2025 turut menampilkan konsep berbeza apabila menawarkan pengalaman festival sukan yang menyeluruh, termasuk sesi Zumba sebagai aktiviti pemanasan badan, kategori junior khas serta penglibatan vendor makanan tempatan.

“Pendekatan ini bukan sahaja memeriahkan acara, malah mewujudkan suasana mesra keluarga dan komuniti, sekali gus menarik penyertaan wanita yang mungkin baru berjinak-jinak dengan sukan pickleball,” katanya.

Beliau menambah, penganjuran sulung Ladies Picklefest ini mendapat sambutan amat menggalakkan apabila sebanyak 50 pasukan berjaya mendaftar merangkumi kategori wanita dan junior, termasuk penyertaan dari daerah luar seperti Tawau dan Keningau.

Dengan penyertaan itu, jumlah pemain dianggarkan mencecah 100 orang, manakala kehadiran penonton pula dijangka sehingga 300 orang sepanjang acara berlangsung, membuktikan potensi besar sukan pickleball dalam menarik minat masyarakat.

Ladies Picklefest 2025 dianjurkan oleh Bounce Pickleclub dan Velocity Dinkers dengan kerjasama strategik Kota Kinabalu Pickleball Association (KKPA), sekali gus mencerminkan komitmen pelbagai pihak dalam membangunkan ekosistem sukan pickleball yang inklusif dan mampan di Sabah.

RELATED ARTICLES
Sukan

Hajiji Noor puji semangat juang Sabah FC meskipun tewas di Final...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular