HomeUtamaPertanian pintar strategi tarik minat belia, perkasa sektor pertanian Sabah

Pertanian pintar strategi tarik minat belia, perkasa sektor pertanian Sabah

Read Time:1 Minute, 48 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah melalui Jabatan Pertanian melaksanakan latihan teknologi pertanian pintar sebagai strategi jangka pendek bagi memperkasakan sektor pertanian negeri serta menarik minat generasi muda.

Menterinya, Datuk Jamawi Jaafar berkata, latihan itu melibatkan penggunaan teknologi Internet Pelbagai Benda (IoT), dron, sistem pengairan pintar dan kaedah pertanian tepat bagi meningkatkan kecekapan pengurusan ladang dan produktiviti hasil.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan perbahasan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini, pada Rabu, bagi menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sook, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berhubung strategi jangka pendek dan jangka panjang untuk memperkasakan sektor pertanian.

Menurutnya, sebagai langkah jangka panjang, Jabatan Pertanian turut mewujudkan model sistem pertanian pintar termasuk rumah hijau lengkap dengan sistem smart farming berasaskan IoT, kilang tanaman sayur dalam kontena serta model sistem pengairan automasi di ladang tanaman.

“Pendekatan ini bertujuan meningkatkan kecekapan pengurusan ladang, produktiviti hasil serta daya tahan sektor pertanian terhadap kesan perubahan iklim,” katanya.

Jamawi berkata, penubuhan Sabah Agricultural Biotechnology Center (SABTeC) di Tuaran yang melaksanakan penyelidikan dan pembangunan (R&D) turut memberi tumpuan kepada usaha mengurangkan kesan perubahan cuaca terhadap tanaman utama di Sabah.

Katanya, antara kajian yang akan dilaksanakan termasuk pembangunan varieti tanaman seperti padi berhasil tinggi (High Yielding Variety – HYV) yang toleran terhadap kemarau, banjir kilat dan air masin melalui kerjasama dengan institusi penyelidikan tempatan dan antarabangsa.

Kerjasama itu melibatkan institusi seperti International Rice Research Institute (IRRI), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Agensi Nuklear Malaysia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Mengulas mengenai peruntukan, beliau berkata sebanyak RM430,000 diperuntukkan bagi program mekanisasi, automasi dan pertanian pintar pada tahun 2026.

Dalam pada itu, Jamawi berkata kementeriannya turut merangka Program Mentor–Mentee Pertanian sebagai pendekatan untuk mengenal pasti golongan muda yang aktif dalam sektor pertanian bagi dibimbing secara berstruktur.

“Selaras dengan perkembangan ekonomi digital, usahawan industri makanan juga digalakkan memanfaatkan platform digital bagi meluaskan pasaran dan meningkatkan pendapatan,” ujarnya.

Tambah beliau, kejayaan tokoh usahawan tempatan seperti Datuk Seri Vida, Dato’ Aliff Syukri dan Khairul Aming membuktikan penggunaan platform digital sebagai kaedah pemasaran berkesan dalam menembusi pasaran lebih luas serta melonjakkan pendapatan pengusaha.

RELATED ARTICLES
Utama

KKIP terus menjadi pemangkin utama pelaburan dan peluang pekerjaan di Sabah...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular