KOTA KINABALU : Program Asnafpreneur Sabah Bank Rakyat-UMS 2.0 menjadi platform strategik merapatkan jurang akses modal, ilmu perniagaan, teknologi dan pasaran dalam kalangan usahawan asnaf di Sabah, sejajar usaha membangunkan komuniti yang lebih berdaya tahan dan berdaya saing.
Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata program berkenaan mempunyai kedudukan istimewa dalam ekosistem pembangunan komuniti negeri ini kerana menggabungkan kekuatan institusi kewangan, institusi pengajian tinggi dan institusi agama.

“Di satu pihak, kita melihat cabaran nyata yang dihadapi golongan asnaf, termasuk keterbatasan akses kepada modal, ilmu perniagaan, teknologi dan rangkaian pasaran. Namun di pihak lain, terdapat potensi besar, bakat yang pelbagai serta kesediaan untuk berusaha memperbaiki taraf hidup.
“Melalui Program Asnafpreneur Sabah 2.0, kita berusaha merapatkan jurang ini secara bersepadu,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Program Asnafpreneur Sabah Bank Rakyat-UMS 2.0 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini.
Program anjuran bersama Bank Rakyat dan UMS dengan kerjasama Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) serta Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS) itu dilaksanakan dari Ogos 2025 hingga awal 2026, merangkumi latihan intensif, bimbingan berterusan dan pemantauan di premis perniagaan peserta.
Kasim berkata kerjasama antara Bank Rakyat, UMS, MUIS dan PBNS dalam program tersebut merupakan contoh model sinergi yang berkesan dalam pemerkasaan ekonomi komuniti.
Menurut beliau, Bank Rakyat menyumbang kekuatan dari segi pembiayaan keusahawanan, manakala MUIS dan PBNS menyediakan landasan kukuh melalui data serta jaringan asnaf di lapangan bagi memastikan agihan dana dan sokongan operasi disalurkan kepada kumpulan sasaran yang tepat.
“UMS pula memainkan peranan melalui kepakaran akademik dalam reka bentuk modul latihan, bimbingan keusahawanan, pemantauan kemajuan serta pengukuhan kemahiran digital usahawan,” katanya.
Tambah Kasim, komitmen UMS sejajar agenda Malaysia MADANI dan aspirasi pembangunan mampan, dengan peranan universiti tidak terhad kepada pengajaran dan penyelidikan semata-mata, sebaliknya turut merangkumi khidmat bakti kepada masyarakat.
“Peserta telah mengikuti latihan intensif BIZUP Bootcamp selama lima hari pada Oktober lalu, melibatkan modul praktikal seperti pembinaan Kanvas Model Perniagaan, pengurusan kewangan diri dan perniagaan, serta penggunaan platform digital dan berasaskan kecerdasan buatan (AI) bagi tujuan pengiklanan, pemasaran dan pengurusan pelanggan.
“Pendedahan kepada keusahawanan digital amat penting dalam konteks semasa, memandangkan perniagaan kecil juga perlu celik teknologi dan mampu memanfaatkan media sosial, platform e-dagang serta aplikasi digital untuk mengembangkan pasaran,” katanya.
Kasim turut menasihatkan peserta agar menganggap ilmu dan sokongan yang diberikan sebagai satu amanah untuk membina perniagaan yang sah, patuh syariah dan berteraskan integriti.
“Keuntungan yang berkat datang bersama kejujuran, disiplin kewangan serta tanggungjawab sosial. Kejayaan juga menuntut kesabaran, ketekunan dan kesediaan untuk terus belajar menghadapi cabaran pasaran,” katanya.
Beliau turut menggalakkan peserta memanfaatkan jaringan yang terhasil melalui program berkenaan, melibatkan rakan peserta, jurulatih serta institusi Bank Rakyat, MUIS, PBNS dan UMS sebagai ekosistem sokongan berterusan.
Pada majlis tersebut, turut diadakan penyerahan cek cura dan penyampaian dana perniagaan berjumlah RM5,000 kepada setiap peserta, yang disempurnakan oleh Ketua Wilayah Sabah Bank Rakyat, Azmi Mohd Taib.
Program Asnafpreneur Sabah Bank Rakyat-UMS 2.0 akan diteruskan dengan fasa pengukuhan, bimbingan serta pemantauan sehingga Februari 2026, bagi memacu pertumbuhan hasil, peluasan pasaran dan pemerkasaan ekonomi komuniti asnaf di Sabah.
Turut hadir ke majlis tersebut, Bendahari UMS, Datuk Badrul Hisham Ismail; Dekan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan UMS, Profesor Madya Dr. Mohd. Rahimie Abd Karim serta Ketua Projek, Dr. Brahim Chekima.
Manakala PBNS diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Ismail Mohd. Adnan dan Penolong Setiausaha Kanan (Agihan) MUIS, Safruddin Manshuruddin.



