KOTA KINABALU: Ibu bapa kepada lima remaja yang sedang dibicarakan atas dakwaan mencela Zara Qairina Mahathir telah membuat laporan polis berhubung dakwaan kacau ganggu saksi oleh pihak pendakwaan.
Selain itu, ibu kepada seorang pelajar yang merupakan saksi dalam perbicaraan yang sama juga telah membuat laporan polis, menjadikan jumlah laporan polis berkenaan sebanyak enam.
Perbicaraan bermula pada 8 Disember lalu dan sepatutnya diteruskan sehingga esok. Bagaimanapun, difahamkan bahawa perbicaraan itu kini akan disambung pada 19 Januari tahun hadapan untuk arahan selanjutnya.
Peguam Datuk Ram Singh, yang mewakili salah seorang daripada lima pelajar tersebut, berkata laporan polis itu telah dibuat kelmarin dan kenyataan telah direkodkan.
“Siasatan masih berjalan, jadi saya jangkakan ia akan diteruskan tahun hadapan. Kita masih tidak tahu keputusan akhirnya, tetapi perkara ini melibatkan beberapa individu dalam prosiding perbicaraan.
“Hal ini (dakwaan kacau ganggu) terdedah melalui beberapa soalan…. Kami terikat dengan perintah larangan (gag order), tetapi beberapa maklumat penting perlu diketahui oleh pihak media dan orang ramai mengenai perkembangan terkini,” katanya ketika bercakap dengan media di Mahkamah pagi tadi.
Ram turut meluahkan rasa kecewanya terhadap perkara tersebut.
“Kami sangat kecewa. Kami menyangka prosiding akan berjalan lancar, tetapi entah bagaimana berlaku “gangguan teknikal”,” katanya.
Peguam Joan Goh menambah bahawa selepas apa yang berlaku dan berdasarkan laporan polis yang telah dibuat, mereka turut menerima arahan daripada anak guam untuk memulakan prosiding penghinaan mahkamah terhadap pihak yang terlibat pada masa yang sesuai.
“Jadi, kami akan memulakannya tidak lama lagi,” katanya.
Sementara itu, peguam Azhier Farhan Arisin, yang mewakili empat remaja lain juga mengesahkan telah membuat laporan polis yang menggesa supaya satu siasatan polis dijalankan terhadap saksi pendakwaan yang dikatakan telah dikacau ganggu oleh pihak pendakwaan.
“Buat masa ini saya tidak akan mengulas tentang apa prosiding yang berlaku di mahkamah kanak-kanak bagi menghormati gag order. Namun, apa yang saya boleh katakan setakat ini, anak guam kami akan memberi kerjasama penuh terhadap laporan ibu saksi kanak-kanak yang menyatakan kononnya telah dikacau ganggu oleh pihak pendakwaan untuk menukar keterangan di mahkamah. Itu sahaja saya boleh bagi tahu, perkara ini masih siasatan polis. Kita serahkan kepada pihak polis,” katanya.
Menurut Azhier lagi, anak guamnya akan menyambung rakaman percakapan berhubung satu lagi laporan polis yang dibuat oleh ibu seorang saksi kanak-kanak.
“Di dalam laporan tersebut (ibu saksi) menyatakan bahwa saksi tersebut telah pun dipaksa untuk menukar kenyataan di mahkamah kanak-kanak dan juga telah dipaksa untuk tidak bercakap benar. Itu adalah antara intipati dalam laporan polis oleh ibu saksi yang mana pihak polis telah menghubungi kami untuk anak guam kami membantu siasatan, dengan merekodkan keterangan mereka,” jelasnya.
Tambahnya, anak guamnya akan mengemukakan aduan berhubung pencabulan hak mereka.
“Dalam masa yang sama juga, anak guam kami akan memfailkan aduan terhadap Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), berhubung pencabulan hak mereka kerana hak perbicaraan mendapatkan perbicaraan yang adil telah dicabuli oleh pihak pendakwaan dalam mahkamah kanak-kanak,” katanya.
Pada 20 Ogos lalu, semua lima remaja berkenaan, yang identitinya tidak boleh didedahkan di bawah Akta Kanak-Kanak, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan mencela Zara.
Mereka didakwa menggunakan perkataan mencela terhadap Zara yang mana perkataan tersebut didengari yang mungkin menyebabkan Zara berasa terganggu dengan perkataan tersebut pada 15 Julai lalu.
Ram dan Joan bersama Prem Elmer Ganasan mewakili salah seorang tertuduh, manakala Azhier bersama Abdul Fikry Jaafar Abdullah, Fareez Salleh dan Sylyester Kuan mewakili empat lagi remaja lain.
Zara, pelajar Tingkatan Satu, ditemui tidak sedarkan diri pada 16 Julai di asramanya dan disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth (QEH).



