KOTA KINABALU, — Kepimpinan pendidikan Sabah terus mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa apabila Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Likas, Budhi Rahmad bin Suparno, sekali lagi diumumkan sebagai pemenang Principals Speak Award 2025 bagi kategori Popular Choice, menjadikan kejayaan itu sebagai pencapaian dua tahun berturut-turut.
Kejayaan berkenaan sekali gus mengharumkan nama SK Likas, negeri Sabah dan Malaysia di persada pendidikan global, selain membuktikan konsistensi kecemerlangan kepimpinan sekolah tempatan yang berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Principals Speak Award dianjurkan oleh Global School Leaders, sebuah organisasi antarabangsa yang mengiktiraf pengetua dan pemimpin sekolah dari seluruh dunia berdasarkan idea, inovasi serta projek kepimpinan yang memberi impak positif kepada sekolah dan komuniti setempat.
Bagi edisi 2025, empat pemimpin sekolah telah dipilih sebagai pemenang utama, iaitu Mabel Valdez dari Argentina, George Arwa dari Kenya, Ali Rosyidi dari Indonesia dan Budhi Rahmad bin Suparno dari Malaysia, yang dipilih menerusi sokongan undian awam bagi kategori Popular Choice.
Penganjur dalam kenyataannya memaklumkan bahawa platform Principals Speak diwujudkan bagi memberi ruang kepada pemimpin sekolah berkongsi pengalaman, cabaran serta amalan terbaik kepimpinan dalam usaha memperkukuh ekosistem pendidikan global.
Kejayaan Budhi Rahmad itu turut disifatkan sebagai bukti bahawa kepimpinan sekolah di Sabah mampu berdiri setanding dengan pemimpin pendidikan dari negara lain, selain diharap dapat menjadi inspirasi kepada warga pendidik untuk terus berinovasi dan membawa perubahan positif dalam dunia pendidikan.



