KOTA KINABALU: Mahkamah Sesyen menetapkan 3 Februari tahun hadapan untuk mendengar kes menghina mahkamah membabitkan bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berhubung kenyataannya berkaitan inkues kematian Zara Qairina Mahathir.
Hakim Mahkamah Sesyen, Amir Shah Amir Hassan, juga memerintahkan pihak pendakwaan (pemohon) untuk mengemukakan afidavit mereka selewat-lewatnya pada 26 Disember, manakala pihak responden perlu membalas selewat-lewatnya pada 9 Jan 2026, dan hujahan oleh kedua-dua pihak selewat-lewatnya pada 19 Jan 2026.
Shafie tidak hadir pada sebutan kes hari ini, dan pasukan peguam beliau memohon agar kehadirannya dikecualikan.
Mahkamah membenarkan permohonan itu kerana tiada bantahan daripada pihak pendakwaan, tetapi hakim mengingatkan bahawa setiap kali kes ini ditetapkan untuk perbicaraan atau sebutan, sebarang permohonan untuk pengecualian kehadiran mesti dikemukakan terlebih dahulu kepada mahkamah.
Terdahulu, peguam Chen Ket Chuin KC, bersama Jakariya Ab Jalil dan Batholomew Jingulam, yang mewakili Shafie, memaklumkan kepada mahkamah bahawa mereka telah mengemukakan permohonan untuk mengetepikan prosiding komital pada 15 Disember.
Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Mohamad Mustaffa P. Kunyalan dan Christopher Enteri, mengesahkan perkara tersebut.
Chen juga memohon agar kes penghinaan mahkamah ditangguhkan sementara menunggu penyelesaian permohonan leave untuk semakan kehakiman (JR) yang dikemukakan oleh pihak lain untuk mencabar inkues yang sedang berjalan.
Chen berkata sebabnya ialah keputusan permohonan semakan kehakiman itu berkemungkinan akan menjejaskan keseluruhan prosiding inkues dan sekali gus dibatalkan.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan membantah permohonan itu, dan mahkamah bersetuju dengan pihak pendakwaan, menyatakan bahawa prosiding harus diteruskan.
“Jika terdapat sebarang perintah daripada Mahkamah Tinggi untuk menangguhkan prosiding di (Mahkamah) bawah, saya akan mematuhinya. Tetapi setakat yang saya ketahui, tiada perintah sebegitu pada masa ini. Jadi kita teruskan prosiding mengikut ketetapan,” kata Amir.
Sementara itu, Che Muna Din, lebih dikenali sebagai Mona Din, mengaku bersalah atas kesalahan yang sama dan didenda RM300 atau 14 hari penjara.
Mahkamah mengenakan denda itu selepas mendapati pihak pendakwaan telah membuktikan kes penghinaan mahkamah terhadap Mona Din, melebihi keraguan munasabah, seperti yang diperuntukkan di bawah Aturan 52, Kaedah 3(2) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 dan dokumen sokongan kes.
Hukuman bagi penghinaan mahkamah adalah berpandukan Seksyen 99A dan perenggan 26 Jadual Ketiga Akta Mahkamah Rendah 1948, yang memperuntukkan denda maksimum RM300 atau tempoh penjara enam minggu.
Mona Din diwakili oleh peguam Jul Hamri Jumhani.
Pada 23 Okt, Koroner Amir Shah Amir Hassan telah memberi kebenaran kepada Peguam Negara untuk memulakan prosiding penghinaan mahkamah terhadap Shafie dan aktivis Mona Din, susulan hujahan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa dan Nadia Mohd Izhar.
Kedua-dua Shafie dan Mona Din dikehendaki memberi jawapan terhadap pernyataan tersebut mengikut Aturan 52, Kaedah 3(2) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.



