Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU: Seorang ustaz yang didakwa mengasari pelajar di sebuah pusat tahfiz swasta di Telipok baru-baru ini digantung tugas, sementara siasatan penuh dijalankan oleh pihak berkuasa.
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Datuk Jumain Abdul Ghani berkata, keputusan menggantung tugas itu dibuat oleh ahli lembaga pengurusan tahfiz terbabit sebagai langkah awal bagi memastikan siasatan dapat dijalankan secara telus dan menyeluruh.
Katanya, pusat tahfiz berkenaan merupakan institusi swasta yang berdaftar secara sah dengan jabatan itu, namun pengurusan dan tindakan tatatertib ke atas tenaga pengajar adalah di bawah bidang kuasa lembaga pengelola institusi tersebut.
“Pasukan JHEAINS telah turun padang melawat pusat tahfiz berkenaan dan mengambil laporan penuh sebaik isu ini tular.
“Antara perkara utama yang diberi perhatian serius ialah kapasiti dan kelayakan guru, khususnya melibatkan kes kekasaran pelajar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Sidang Media Pengumuman Keputusan Peperiksaan Sekolah Rendah Ugama (SRU) dan Sijil Menengah Ugama (SMU) di sini pada Khamis.
Sidang media itu disempurnakan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.
Jumain berkata, JHEAINS menegaskan pihaknya memberi kerjasama sepenuhnya kepada siasatan polis dan menyerahkan tindakan lanjut kepada pihak berkuasa.
“Kita serahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya mengikut undang-undang,” katanya.
Dalam pada itu, Jumain berkata, ustaz berkenaan merupakan seorang imam rawatib yang dilantik di peringkat Persekutuan dan diselia oleh JHEAINS.
Katanya, ustaz yang juga guru di pusat tahfi berkenaan mempunyai latar belakang serta pengalaman dalam bidang pendidikan sebelum dilantik mengajar di pusat tahfiz berkenaan.
“Setakat ini, ustaz terbabit tidak berada dalam tahanan polis, manakala siasatan masih diteruskan oleh pihak polis.
“Sebarang keputusan muktamad termasuk tindakan disiplin jangka panjang terhadap ustaz berkenaan bergantung kepada hasil siasatan polis serta pertimbangan lembaga pengurusan institusi tahfiz berkenaan,” katanya. – SABAH MEDIA



