Oleh Normimie Diun
PAPAR: Sebanyak 875 Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) Krismas akan dilaksanakan di seluruh negara bermula 18 hingga 27 Disember 2025 sebagai antara inisiatif kerajaan meringankan kos sara hidup rakyat menjelang sambutan Krismas, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.
Beliau berkata, seiring usaha itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) turut melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2025 yang berkuat kuasa selama lima hari, iaitu dari 23 hingga 27 Disember 2025.
“Tempoh pelaksanaan skim ini meliputi dua hari sebelum perayaan, hari perayaan dan dua hari selepasnya, dengan mengambil kira keseimbangan kepentingan pengguna dan peniaga,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pengumuman Pelaksanaan SHMMP Krismas 2025 di Dewan Terbuka Perpustakaan Papar di sini, hari ini.
Menurut beliau, sebanyak 14 jenis barangan dikenal pasti untuk dikawal harga di bawah SHMMP Krismas 2025, iaitu:
- Daging kambing biri-biri bertulang import;
- Kubis bulat import (Indonesia dan China, tidak termasuk kubis Beijing);
- Lobak merah (China);
- Tomato;
- Cili merah;
- Lada benggala hijau;
- Bawang merah besar;
- Bawang kuning besar;
- Ubi kentang import (China);
- Kepak ayam;
- Ayam tua hidup (Sarawak sahaja).
Manakala barangan terpilih melibatkan Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan iaitu babi hidup (ladang sahaja); daging babi (perut); dan daging babi (daging dan lemak).
Armizan berkata, penentuan senarai barangan, paras harga maksimum dan tempoh pelaksanaan dibuat berdasarkan faktor permintaan dan penawaran, kos semasa, cuaca serta kadar upah, selain mengambil kira pandangan rakan strategik termasuk Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), agensi kerajaan dan pemain industri.
“KPDN juga sentiasa bekerjasama rapat dengan KPKM bagi memastikan bekalan barangan mencukupi sepanjang tempoh pelaksanaan skim,” katanya.
Beliau menjelaskan, SHMMP Krismas 2025 dikuatkuasakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011, dan harga maksimum di peringkat pemborong serta peruncit boleh disemak melalui laman sesawang rasmi KPDN di www.kpdn.gov.my.
Sepanjang tempoh skim, pegawai penguat kuasa KPDN akan ditempatkan di lokasi strategik seperti pasar awam, pasar tani dan pusat beli-belah bagi memastikan pematuhan peniaga. Pendekatan penguatkuasaan berhemah turut dilaksanakan melalui pendidikan, nasihat dan amaran.
Kerajaan turut mengingatkan peniaga supaya menggunakan label harga berwarna merah jambu bagi barangan terkawal. Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan, termasuk denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun bagi individu, dan denda sehingga RM500,000 bagi syarikat.
Orang ramai diminta menyalurkan sebarang aduan berkaitan melalui saluran berikut:
WhatsApp 019-848 8000;
Pusat Panggilan 1-800-886-800;
Laman web eaduan.kpdn.gov.my;
E-mel [email protected]; atau
Aplikasi Ez ADU KPDN.
Selain PJRM Krismas, KPDN turut melaksanakan Program Servis Ihsan MADANI@Petronas AutoExpert (SIM@PAX) dengan penglibatan 115 bengkel di seluruh negara dari 18 hingga 27 Disember 2025. Tempahan janji temu boleh dibuat melalui aplikasi SETEL oleh Petronas.



