PAITAN: Sabah akan memperluaskan akses internet ke lebih banyak sekolah mulai tahun hadapan, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman yang masih belum menikmati kemudahan berkenaan.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib berkata, inisiatif itu penting bagi memastikan tiada murid tercicir daripada arus pendidikan digital sejajar dengan perkembangan semasa.
Menurut beliau, sepanjang tahun ini sahaja, kira-kira 300 buah sekolah di seluruh Sabah telah dilengkapi dengan peranti satelit Starlink bagi memudahkan capaian internet dan menyokong proses pembelajaran serta pengajaran di sekolah.
“Kita tidak mahu lagi ada murid atau pelajar yang berdepan kesukaran mendapatkan akses internet.
“Usaha ini akan diteruskan dan diperluaskan dari semasa ke semasa,” katanya.
James yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sugut, berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Krismas dan Tahun Baharu Peringkat Daerah Paitan di sini, pada Sabtu.
Beliau menambah, kemudahan Starlink bukan sahaja penting di sekolah, malah perlu diperluaskan kepada komuniti setempat melalui inisiatif e-Desa, khususnya di kampung-kampung yang masih tidak mempunyai liputan internet.
Menyentuh mengenai majlis berkenaan, James berkata, sambutan perayaan pelbagai kaum dan agama di Sabah terus menjadi platform penting memupuk nilai keharmonian, perpaduan dan saling menghormati dalam kalangan masyarakat.
Dalam perkembangan lain, James berkata kawasan Sugut di Paitan, Beluran, yang disenaraikan antara 10 kawasan termiskin di Malaysia, menjadi antara keutamaan beliau untuk dibangunkan dan dikeluarkan daripada garis kemiskinan dalam tempoh lima tahun.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penduduk setempat atas kepercayaan yang diberikan sekali lagi kepadanya sebagai wakil rakyat kawasan Sugut pada Pilihan Raya Negeri Sabah yang lalu, sambil menyeru semua pihak berganding bahu memastikan Paitan dan Sugut terus maju seiring pembangunan semasa.
Sementara itu, Pengerusi Bersama majlis yang mewakili Gereja-Gereja Daerah Paitan, Rev. Justin Sansalu berkata, tema sambutan Krismas tahun ini mengajak masyarakat menghayati nilai kemanusiaan sejagat seperti kedamaian, kasih sayang dan harapan, di samping mengekalkan keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan budaya di Paitan.
Manakala Pegawai Daerah Paitan merangkap Pengerusi Penganjur, Joloning Joe Majambu berkata, sambutan perayaan secara bersama mencerminkan rasa kesyukuran serta kematangan masyarakat setempat dalam meraikan kepelbagaian budaya dan agama dalam suasana aman dan harmoni.



