Oleh Normimie Diun
PAPAR: Jika ada pihak yang mendakwa masyarakat Cina menolak rakan parti dalam kerajaan, dakwaan tersebut adalah kurang tepat dan tidak selari dengan fakta sebenar keputusan Pilihan Raya Umum Dewan Undangan (PRU DU) Sabah ke-17 yang berakhir pada 29 November lalu, kata Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali.
Beliau berkata, naratif mengenai kononnya berlakunya “swing vote” masyarakat Cina yang tidak menyokong parti kerajaan bukan sahaja dibincangkan di peringkat negeri, malah turut menjadi topik perbincangan di peringkat nasional, namun perlu diteliti secara objektif berdasarkan data dan realiti kawasan yang ditandingi.
“Pertama sekali, saya ingin maklumkan bahawa GRS tidak bertanding di semua kawasan majoriti masyarakat Cina. Di kebanyakan kawasan tersebut, calon yang bertanding adalah daripada rakan kita dalam Pakatan Harapan (PH),” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Mengambil contoh di kawasan Parlimen Papar, khususnya Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Manis, Armizan berkata terdapat satu Pusat Daerah Mengundi (PDM) iaitu PDM Bandar yang majoritinya terdiri daripada pengundi masyarakat Cina.
“Alhamdulillah, calon GRS berjaya memenangi kerusi DUN Pantai Manis pada PRU 17 lalu yang mempunyai komposisi pengundi majoriti masyarakat Cina,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa tidak wajar untuk membuat kesimpulan bahawa masyarakat Cina keseluruhan rakan-rakan parti dalam kerajaan, walaupun mengakui terdapat kawasan tertentu yang menyaksikan kekalahan calon kerajaan, khususnya melibatkan parti rakan seperti DAP.
Menurut Armizan, keputusan tersebut seharusnya dilihat sebagai isyarat daripada pengundi agar kerajaan mengambil perhatian terhadap perkara-perkara yang memerlukan penambahbaikan.
“Kita perlu menerima dan menghormati keputusan ini serta melihat apa yang perlu ditambah baik bagi mewujudkan keyakinan rakyat, termasuk masyarakat Cina,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa selepas pilihan raya berakhir dan kerajaan dibentuk, GRS kini memikul tanggungjawab sebagai kerajaan kepada semua rakyat Sabah tanpa mengira latar belakang atau kecenderungan politik.
“Kita adalah kerajaan untuk setiap rakyat Sabah, bukan hanya kepada mereka yang mengundi kita. Sama ada mereka menyokong kita atau tidak sebelum ini, itu adalah hak demokrasi mereka,” katanya.
Armizan berkata proses post-mortem pilihan raya sedang dan akan terus dilaksanakan bagi mengenal pasti isu-isu utama, selain memastikan manifesto yang dibentangkan diterjemahkan ke dalam pelan hala tuju pembangunan kerajaan negeri.
Menurutnya, rakyat Sabah kini menantikan pelan hala tuju kerajaan negeri yang diterajui GRS bagi tempoh lima tahun akan datang, termasuk pelaksanaan pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bermula 2026 hingga 2030.
“Pilihan raya sudah berakhir dan tidak ada tempoh ‘bulan madu’ yang panjang. Tidak lama lagi kita akan memasuki tahun baharu.
“Justeru, saya menyeru Jemaah Menteri serta seluruh jentera kerajaan agar menyegerakan pelaksanaan pelan hala tuju SMJ 2.0 kerana ia penting bukan sahaja kepada rakyat, malah kepada perkhidmatan awam, pelabur dan sektor swasta,” katanya.
Beliau menegaskan kerajaan Sabah perlu kekal terbuka, bersedia mendengar pandangan rakyat, menghormati keputusan pilihan raya serta menyelidik secara mendalam faktor yang mempengaruhi keputusan pengundi dalam PRU DU Sabah17 lalu.



