KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) dan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KEPKAS) bersetuju untuk memperkukuh kerjasama strategik bagi mempertingkat pengurusan serta prestasi industri pelancongan di negeri ini.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, persetujuan itu dicapai menerusi pertemuan rasmi bersama Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Seri Tiong King Sing, di Putrajaya baru-baru ini.
Pertemuan dan kerjasama itu turut memfokuskan kepada keperluan penyelarasan yang lebih berkesan antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.
Jafry berkata, kerjasama berkenaan meliputi aspek penguatkuasaan, penyelarasan pelesenan, perkongsian maklumat serta pelaksanaan inisiatif promosi strategik bagi melonjakkan lagi sektor pelancongan Sabah.

“Pendekatan bersama yang tersusun dan berfokus ini diyakini mampu memberikan impak positif yang signifikan terhadap pengurusan industri pelancongan negeri.
“Ini adalah bagi memastikan aspek keselamatan, kualiti perkhidmatan dan pematuhan peraturan sentiasa terjamin,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.
Jafry berkata, kerjasama erat antara MOTAC dan KEPKAS juga penting dalam menangani pelbagai isu berkaitan pengalaman, keselamatan serta kebajikan pelancong domestik dan antarabangsa yang berkunjung ke Sabah.
Beliau menambah, sinergi antara kedua-dua kementerian itu akan membantu memperkukuh reputasi Sabah sebagai destinasi pelancongan berkualiti dan bertaraf antarabangsa.
Menurutnya lagi, ia juga adalah selaras dengan usaha kerajaan negeri membangunkan industri pelancongan secara mampan dan berdaya saing.
“Kerjasama ini mencerminkan komitmen bersama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam memastikan sektor pelancongan Sabah terus berkembang secara teratur, selamat dan inklusif demi manfaat semua pihak,” katanya.
Hadir sama dalam pertemuan itu Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Dr Andi Rizal. – SABAH MEDIA



