KOTA KINABALU: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan merogol seorang remaja perempuan bawah umur yang baru dikenalinya.
Tertuduh, Arman Nizam, 28, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Amir Shah Amir Hassan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa berusia 14 tahun pada 16 Januari lalu di sebuah hotel di Jalan Sulaman.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 16 Februari tahun hadapan untuk pengurusan kes pra-perbicaraan, selain membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan dua penjamin tempatan.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh melapor diri sebulan sekali, menyerahkan pasport kepada mahkamah sekiranya ada, serta tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Terdahulu, pihak pendakwaan memohon supaya jaminan tidak dibenarkan, namun sekiranya mahkamah membenarkan jaminan, pihak pendakwaan mencadangkan jumlah RM10,000.
Peguam tertuduh, Jagnesh Jaya, memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan tertuduh telah bercerai dan mempunyai dua orang anak untuk dijaga, manakala bekas isterinya tidak dapat dihubungi.
Peguam turut memaklumkan bahawa tertuduh baru mengenali mangsa dan pertemuan pertama mereka berlaku pada hari kejadian.



