HomeUtamaPemandu diingatkan utamakan keselamatan ketika musim perayaan - Joachim

Pemandu diingatkan utamakan keselamatan ketika musim perayaan – Joachim

Read Time:1 Minute, 16 Second

KUNDASANG : Pengguna jalan raya diingatkan supaya meningkatkan tahap keselamatan dan berhati-hati ketika memandu pada musim perayaan, berikutan peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya terutama di laluan utama seluruh negeri.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata, pemandu khususnya dinasihatkan agar tidak memandu selepas mengambil minuman beralkohol, terutamanya ketika sambutan perayaan seperti Krismas.

“Jika sudah berasa ‘tipsy’ atau mengambil sedikit minuman (beralkohol), sebaiknya jangan memandu.

“Keselamatan diri dan pengguna jalan raya lain harus diutamakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Kempen Kesedaran Keselamatan Jalan Raya Sempena Hari Natal 2025 peringkat Negeri Sabah di Pekan Kundasang di sini pada Selasa.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya dan Utiliti turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya memeriksa keadaan kenderaan sebelum memulakan perjalanan, termasuk sistem brek, lampu dan tayar, bagi mengelakkan risiko kemalangan ketika perjalanan jauh.

Selain itu katanya, pemandu digesa supaya memandu secara berhemah, mematuhi had laju dan semua peraturan lalu lintas, serta berhenti berehat sekiranya berasa mengantuk atau letih ketika memandu.

“Bagi perjalanan jauh seperti dari Kota Kinabalu ke Sandakan atau Tawau, disarankan supaya pemandu mempunyai pemandu kedua untuk bergilir-gilir memandu, atau berhenti rehat seketika sebelum meneruskan perjalanan,” katanya.

Tambah beliau, keselamatan jalan raya bukan hanya tanggungjawab pihak penguat kuasa, sebaliknya merupakan tanggungjawab bersama semua pengguna jalan raya bagi memastikan perjalanan sempena musim perayaan berlangsung dengan selamat dan lancar.

Menurutnya lagi, kempen keselamatan jalan raya akan terus dilaksanakan sebagai usaha mendidik masyarakat dan mengurangkan risiko kemalangan, khususnya ketika musim perayaan yang menyaksikan peningkatan trafik di jalan raya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

KPD sasar jualan RM100 juta tahun depan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular