MATUNGGONG : Seramai 300 keluarga di kawasan Matunggong menerima sumbangan pek perayaan daripada Yayasan PETRONAS sempena sambutan Krismas menerusi program Memacu Kehidupan.
Majlis penyampaian sumbangan tersebut berlangsung di Dewan Mini KDCA Kampung Toporoi di sini baru-baru ini dan disempurnakan oleh Pengurus Besar Pejabat Wilayah PETRONAS Sabah dan Labuan, Siti Ayu Abdul Wahab.
Majlis penyampaian turut disaksikan Timbalan Setiausaha Tetap (Sektor Dasar dan Pengurusan), Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Henry Idol.
Setiap penerima menerima pek perayaan yang mengandungi barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, gula, tepung dan teh bagi membantu meringankan beban perbelanjaan keluarga sepanjang musim perayaan.
Menurut Siti Ayu, sumbangan itu mencerminkan keprihatinan Yayasan PETRONAS terhadap kesejahteraan masyarakat setempat, khususnya golongan yang memerlukan.
“Inisiatif ini diharap dapat membawa keceriaan kepada keluarga penerima serta menyemarakkan semangat perpaduan sempena musim perayaan,” katanya.
Program Memacu Kehidupan merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat Yayasan PETRONAS dalam memperkasa komuniti serta menggalakkan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Sabah.
Di Sabah, PETRONAS terus memainkan peranan aktif menyokong pembangunan masyarakat melalui pelbagai inisiatif yang bertujuan meningkatkan daya tahan komuniti serta menyumbang kepada kemajuan sosioekonomi rakyat negeri ini.



