HomeUtamaPaip lama tidak mampu tampung tekanan tinggi - Joachim

Paip lama tidak mampu tampung tekanan tinggi – Joachim

Read Time:1 Minute, 9 Second

KOTA KINABALU: Paip lama yang uzur dikenal pasti sebagai antara punca utama gangguan bekalan air di beberapa kawasan sekitar Kota Kinabalu, khususnya apabila tekanan air terpaksa ditingkatkan bagi memenuhi permintaan pengguna.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata, meskipun bekalan air mentah mencukupi, namun peningkatan tekanan pam menyebabkan banyak paip lama tidak mampu menampung beban.

Katanya, ini sekali gus mengakibatkan kebocoran dan paip pecah di beberapa lokasi.

“Apabila tekanan air dinaikkan, risiko paip lama pecah menjadi lebih tinggi.

“Sebab itu tekanan tidak boleh dipaksa secara berlebihan kerana ia akan memburukkan keadaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena Majlis Sambutan Krismas Parti Bersatu Sabah (PBS) di Dewan Hongkod Koisaan di sini pada Khamis.

Joachim berkata demikian bagi mengulas isu gangguan bekalan air yang berlaku kebelakangan ini sekitar ibu negeri.

Katanya yang juga Menteri Kerja Raya dan Utiliti berkata, antara kawasan yang dikenal pasti mengalami masalah paip pecah adalah sepanjang jajaran dari Tuaran hingga ke Menggatal, yang turut menjejaskan proses pengagihan air ke rumah pengguna.

Sehubungan itu katanya, satu perancangan sedang dirangka bagi menggantikan paip-paip lama secara berperingkat bagi mengurangkan risiko kerosakan berulang dan memastikan sistem agihan air lebih stabil dalam jangka panjang.

Selain itu, Joachim berkata, kementeriannya juga mempertimbangkan untuk menambah baik kemudahan tangki simpanan air bagi memastikan bekalan dapat diurus dengan lebih teratur, tanpa bergantung sepenuhnya kepada aliran terus dari paip utama ke rumah pengguna. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Pantau isu setempat, Shah Alfie seru penduduk jadi ‘mata dan telinga’...

Anwar Ibrahim

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular