SIPITANG: Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah meneruskan tradisi menyantuni rakyat pelbagai kaum dan agama apabila mengadakan kunjungan ke beberapa rumah terbuka Krismas di Kampung Long Pasia dan beberapa kampung lain, sempena sambutan Hari Krismas, semalam.
Kunjungan itu tertumpu kepada kawasan pedalaman dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sindumin, sebagai manifestasi komitmen beliau memperkukuh hubungan silaturahim dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di daerah itu.
Dalam lawatan berkenaan, Matbali turut meluangkan masa beramah mesra dengan jemaat Gereja SIB Kampung Long Pasia, selain menyampaikan ucapan Selamat Menyambut Hari Krismas kepada penduduk setempat yang meraikan perayaan berkenaan.
Beliau yang juga Pengerusi Pengelola Lembaga Koko Malaysia berkata, sambutan perayaan seperti Krismas wajar dijadikan platform memperkukuh perpaduan, toleransi dan persefahaman dalam kalangan rakyat tanpa mengira latar belakang agama atau budaya.
“Sambutan Krismas bukan sahaja perayaan keagamaan, malah simbol keharmonian dan semangat kekeluargaan yang perlu terus dipelihara, khususnya di kawasan pedalaman seperti Long Pasia,” katanya.
Selain itu, Matbali turut menghadiri rumah terbuka pengusaha inap desa (homestay), Balang Singa, sebagai tanda sokongan terhadap penglibatan komuniti tempatan dalam sektor pelancongan desa yang semakin berkembang di kawasan pedalaman Sipitang.
Hadir sama dalam program itu ialah Pengerusi Koperasi Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sabah (KOTANI), Liaw Sin Kuang serta bekas pemain bola sepak negeri, Mafry Balang.



