KOTA KINABALU: Aspek penyampaian dasar dan komunikasi awam akan terus diperkukuh bagi memastikan setiap dasar, inisiatif serta hala tuju pentadbiran Kerajaan negeri disampaikan secara jelas, tepat dan berfakta kepada rakyat.
Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Azrul Ibrahim berkata, komunikasi yang berkesan amat penting bukan sahaja untuk memaklumkan rakyat mengenai pelaksanaan projek dan program kerajaan, malah bagi mengurus persepsi awam secara bertanggungjawab serta mengelakkan salah faham terhadap dasar yang dilaksanakan.
Katanya, penyampaian maklumat yang konsisten, telus dan berterusan akan membantu meningkatkan kefahaman rakyat serta membina keyakinan terhadap keupayaan kerajaan negeri dalam mentadbir dan memenuhi keperluan sebenar masyarakat.
“Dalam pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 yang akan bermula tahun hadapan, peranan komunikasi awam menjadi semakin kritikal.
“Rakyat perlu mengetahui apa yang sedang dilaksanakan, perancangan yang dirangka serta manfaat yang bakal mereka terima,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya di sini pada Jumaat.
Azrul berkata, kerajaan negeri komited memastikan setiap dasar dan inisiatif, khususnya yang melibatkan penyelesaian isu asas seperti bekalan air, jalan raya dan elektrik, disampaikan dengan penjelasan yang tepat agar rakyat memahami cabaran, garis masa serta langkah penyelesaian yang sedang diambil.
Beliau turut menegaskan bahawa penyampaian dasar tidak boleh bersifat sehala, sebaliknya perlu mengambil kira maklum balas rakyat bagi membolehkan penambahbaikan dilaksanakan dari semasa ke semasa.
Selain itu, katanya, pelbagai program kerajaan negeri dalam bidang pendidikan, pembangunan modal insan, keusahawanan, kebajikan sosial, belia, sukan serta pemerkasaan wanita dan golongan rentan perlu diperluaskan hebahan agar tidak ada rakyat yang tercicir daripada menikmati manfaat yang disediakan.
“Keutamaan kerajaan negeri adalah memastikan setiap usaha dan dasar yang digerakkan dapat dirasai impaknya oleh rakyat.
“Justeru, pengurusan persepsi secara berfakta dan berintegriti akan terus menjadi fokus utama,” katanya. – SABAH MEDIA



