KOTA KINABALU : Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Pusat e-Pembelajaran (PEP) menganjurkan Majlis Anugerah e-Pembelajaran (MAeP) 2025 bagi mengiktiraf kecemerlangan 67 warga universiti dalam bidang Technology-Enabled Learning (TEL).
Majlis tersebut diadakan sebagai bentuk penghargaan terhadap sumbangan warga akademik UMS dalam memperkasa pengajaran dan pembelajaran berasaskan teknologi, sekali gus meningkatkan kualiti pendidikan digital universiti.
Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata pemilihan UMS sebagai wakil tunggal Malaysia bagi kajian kes global berkaitan pembelajaran berasaskan teknologi merupakan sebuah pencapaian besar dan bersejarah.
“Platform OASIS milik UMS mencatatkan impak akademik yang signifikan dengan merekodkan i10-index sebanyak 410 di Google Scholar,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dr. Rossita Shapawi.
Tambah Kasim, inisiatif iOER yang dicetuskan UMS kini secara rasmi dimasukkan ke dalam Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPTM) 2025–2035, manakala platform OpenBook UMS telah digunakan sebagai rujukan oleh 20 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di seluruh negara.
Sebanyak 10 kategori anugerah dan sijil pengiktirafan disampaikan merangkumi Pengiktirafan Kandungan MOOC, Penerbitan Open E-textbook, Penerbitan Ilmiah Digital dan Antarabangsa, Penggunaan Teknologi Pendidikan Terbaik serta Inovasi e-Pembelajaran.
Sementara itu, menurut Rossita 67 penerima anugerah berkenaan merupakan ejen perubahan penting dalam memastikan graduan UMS kekal berdaya saing dan relevan dengan keperluan semasa industri.
“Pencapaian tersebut membuktikan transformasi akademik UMS berada pada landasan kukuh dan selari dengan perkembangan pendidikan global.
“UMS akan terus memperkukuh penggunaan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI) dan analitik pembelajaran bagi memastikan universiti ini kekal menerajui inovasi pendidikan di peringkat antarabangsa,” ujarnya.



