PUTATAN: Konsep berkhatan beramai-ramai terus mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan ibu bapa di daerah Putatan apabila lebih 150 kanak-kanak menyertai program berkenaan pada tahun ini.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya, acara tahunan yang dianjurkan di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu kekal menjadi pilihan ibu bapa bagi menunaikan kewajipan berkhatan ke atas anak-anak mereka.
“Seramai 151 orang berdaftar dalam program Majlis Berkhatan Perdana bersempena musim cuti sekolah tahun ini yang dianjurkan oleh Pejabat Parlimen Putatan dan DUN Tanjung Keramat.
“Alhamdulillah, selain dapat meringankan beban para ibu bapa, program ini seterusnya dapat membentuk kepada disiplin kita sebagai Muslim yang mana berkhatan dituntut di dalam agama.
“Acara ini sudah dilaksanakan secara tahunan oleh pihak kami dan penyertaan juga amat menggalakan daripada kalangan para peserta, ” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Berkhatan Perdana sempena cuti sekolah anjuran pihaknya bersama Pejabat Parlimen P.173 Putatan di Masjid Daerah Putatan, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut mengenai program itu, Shah Alfie berkata majlis berkhatan tersebut diadakan secara serentak di lima lokasi, melibatkan masjid dan surau di sekitar Putatan.
Selain Masjid Daerah Putatan, acara tersebut turut diadakan di Masjid Kariah Sembulan, Masjid Al-Jannah Kampung Petagas, Surau PPR Sri Keramat dan Masjid Taqwa, Kinarut.




