HomeUtamaLapor jika kontraktor gagal laksana projek pembangunan - Masidi

Lapor jika kontraktor gagal laksana projek pembangunan – Masidi

Read Time:1 Minute, 32 Second

RANAU : Rakyat khususnya di daerah ini diseru untuk menjadi ‘mata dan telinga’ kepada Kerajaan bagi memastikan setiap projek pembangunan yang dilaksanakan dilaksanakan mengikut spesifikasi, jadual serta peruntukan yang diluluskan.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Masidi Manjun berkata, penglibatan aktif rakyat amat penting bagi membendung kelewatan projek, kecuaian kontraktor serta amalan subkontrak yang boleh menjejaskan kualiti hasil kerja dan merugikan kerajaan serta penerima manfaat.

“Perhubungan atau projek tidak akan berkesan jika hanya kerajaan bergerak sendirian. Rakyat yang menerima manfaat juga perlu bekerjasama dengan memantau dan melaporkan sebarang kelemahan pelaksanaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Akhir Tahun dan Majlis Kesyukuran, Kelab Belia Kg. Pahu Sarayo di sini pada Ahad.

Masidi yang juga Menteri Kewangan berkata, sebarang masalah pelaksanaan projek, termasuk kontraktor yang gagal menyiapkan kerja mengikut jadual atau meninggalkan tapak projek, perlu dilaporkan segera kepada pihak berkuasa.

Katanya, ia termasuklah Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) dan pejabat daerah bagi membolehkan tindakan pantas diambil.

Menurutnya, kegagalan menyiapkan projek dalam tempoh ditetapkan bukan sahaja menjejaskan keselesaan rakyat, malah boleh menyebabkan peruntukan kerajaan luput dan tidak dapat digunakan, khususnya selepas tarikh penutupan kewangan tahunan.

“Jika projek tidak siap mengikut jadual, peruntukan akan hilang. Akhirnya yang rugi adalah rakyat. Sebab itu saya minta jangan tunggu hingga hujung tahun baru hendak melapor,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karanaan turut mendedahkan kerajaan telah meminta pejabat daerah menyenaraihitamkan kontraktor yang gagal menyiapkan projek atau didapati menyeleweng, termasuk melalui amalan subkontrak berlapis yang mengurangkan nilai sebenar projek dan menjejaskan kualiti pembinaan.

Dalam pada itu, beliau menegaskan keberanian membuat keputusan yang betul walaupun tidak popular adalah asas kepada tadbir urus berintegriti, terutama dalam melindungi kepentingan golongan miskin dan memastikan bantuan kerajaan benar-benar sampai kepada sasaran.

“Yang popular belum tentu benar, tetapi yang benar tetap benar sampai bila-bila. Kita mesti berani bertindak demi kepentingan rakyat,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Wanita maut, dua kenderaan bertembung di Jalan Silam

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular