KOTA KINABALU,Malaysia kekal sebagai negara ASEAN yang merekodkan jumlah penduduk bukan warganegara paling tinggi, dengan anggaran 3.38 juta orang pada tahun 2025, menurut laporan terbaharu Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Laporan Statistik Migrasi Antarabangsa Malaysia 2025 yang diterbitkan pada 24 Disember lalu merupakan laporan pertama oleh DOSM yang menampilkan data terkini penduduk bukan warganegara di peringkat nasional, negeri dan daerah, sekali gus memberikan gambaran menyeluruh trend migrasi di negara ini.
Menurut United Nations Department of Economic and Social Affairs (UN DESA), migran antarabangsa ditakrifkan sebagai individu yang berpindah ke negara selain negara tempat kediaman tetapnya selama sekurang-kurangnya 12 bulan, menjadikan negara destinasi sebagai kediaman tetap baharu mereka.
DOSM memaklumkan jumlah 3.38 juta itu menunjukkan penurunan kecil berbanding 3.40 juta orang pada 2024, dengan populasi bukan warganegara kini merangkumi 9.9 peratus daripada keseluruhan 34.1 juta penduduk Malaysia.
Daripada jumlah itu, 2.70 juta atau 79.8 peratus berada dalam lingkungan umur bekerja (15 hingga 64 tahun), dengan umur penengah 29.2 tahun, sedikit meningkat berbanding 29.0 tahun pada 2024.
Trend 15 tahun kebelakangan menunjukkan populasi bukan warganegara di Malaysia meningkat secara konsisten, kecuali penurunan ketara ketika pandemik COVID-19. Rekod menunjukkan 2.32 juta orang pada 2010, meningkat kepada 3.32 juta (2018), menurun kepada 2.50 juta (2022) dan kembali meningkat kepada 3.38 juta pada 2025.


Di peringkat serantau bagi 2024, Malaysia mencatat jumlah migran tertinggi dengan 3.40 juta orang, diikuti Thailand (3.18 juta) dan Singapura (2.84 juta). Negara yang merekodkan jumlah migran terendah ialah Timor Leste (0.01 juta), Laos (0.05 juta), Kemboja (0.08 juta) dan Myanmar (0.08 juta).
Namun dari segi peratusan populasi migran, Singapura berada pada kedudukan tertinggi dengan 48.7 peratus, jauh mengatasi Malaysia (10 peratus) dan Indonesia (0.2 peratus). Peratusan migran di Singapura juga lebih tinggi berbanding Australia (30.4 peratus), United Kingdom (17.1 peratus), Amerika Syarikat (15.2 peratus), Korea Selatan (3.5 peratus) dan Jepun (2.8 peratus).
DOSM turut melaporkan kebanyakan negara ASEAN mencatat peningkatan populasi bukan warganegara sepanjang 30 tahun (1995-2024), dengan Thailand merekod lonjakan tertinggi sebanyak 1,078 peratus, diikuti Indonesia (309 peratus), Malaysia (221 peratus) dan Singapura (187 peratus).
Dalam Malaysia, Sabah menjadi negeri yang mencatat jumlah dan peratusan penduduk bukan warganegara paling tinggi, iaitu 1.040 juta orang atau 30.8 peratus daripada keseluruhan migran di negara ini, diikuti Selangor (0.728 juta; 21.5 peratus), Johor (0.385 juta; 11.4 peratus), Kuala Lumpur (0.271 juta; 8.0 peratus) dan Pulau Pinang (0.180 juta; 5.3 peratus).
Peratusan tinggi di Sabah dan beberapa negeri lain didorong oleh permintaan tenaga kerja dalam sektor ekonomi utama seperti perkilangan, pembinaan, perladangan, pertanian dan perlombongan.
DOSM juga mendedahkan jumlah penduduk bukan warganegara yang bekerja meningkat 34 peratus daripada 1.756 juta orang pada 2011 kepada 2.361 juta orang pada 2024, dengan Kadar Penyertaan Tenaga Buruh (KPTB) bukan warganegara meningkat daripada 80.5 peratus (2011) kepada 88.9 peratus (2024). Ini menegaskan bahawa tujuan utama migrasi ke Malaysia ialah pekerjaan.
Selari dengan aspirasi negara, semua negeri mencatat kadar pertumbuhan negatif penduduk bukan warganegara bagi 2025, berikutan usaha kerajaan mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing dalam pasaran buruh tempatan.
Timbalan Menteri Sumber Manusia pada November lalu turut memaklumkan, setakat 15 Oktober 2025, jumlah pekerja asing aktif yang sah bekerja di Malaysia ialah 2,132,578 orang – menurun 13 peratus berbanding 2,452,010 orang bagi tempoh sama pada 2024.
Antara sektor yang mencatat bilangan pekerja asing tertinggi ialah Perkilangan (622,388 orang), Pembinaan (589,684), Perkhidmatan (390,607), Perladangan (263,131), Pertanian (158,628), Pembantu Rumah Asing (107,375) dan Perlombongan serta Pengkuarian (765 orang).
Kerajaan juga menetapkan sasaran pengurangan peratusan pekerja asing kepada 10 peratus menjelang 2030 dan lima peratus pada 2035. Sehubungan itu, pembekuan kelulusan kuota pekerja asing baharu yang diputuskan pada 18 Mac 2025 akan terus dikekalkan.
Selain pekerja asing, Malaysia turut menerima 192,244 pelarian dan pemohon suaka pada 2024, meningkat berbanding 2022. Daripada jumlah itu, 137,313 ialah dewasa (meningkat dua peratus) manakala 54,931 ialah kanak-kanak (meningkat 13 peratus). Majoriti 89 peratus atau 170,534 orang berasal dari Myanmar, sementara pelarian dari Palestin berjumlah 561 orang.
Pada masa sama, terdapat juga rakyat Malaysia yang menjadi pelarian dan pemohon suaka di luar negara. DOSM merekodkan pelarian di bawah mandat UNHCR meningkat 121 peratus daripada 906 orang (2019) kepada 2,002 orang (2025), manakala pemohon suaka menurun 57 peratus daripada 21,259 orang (2019) kepada 9,194 orang pada 2025. Kebanyakan pelarian Malaysia berada di Australia, dengan 1,228 pelarian dan 6,469 pemohon suaka, khususnya di negara berkenaan.



