KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memutuskan bahawa pemakaian tali leher tidak lagi diwajibkan kepada murid sekolah bermula sesi persekolahan tahun hadapan.
Keputusan itu dimaklumkan menerusi satu surat siaran bertarikh 17 Disember lalu susulan Mesyuarat Profesional Khas KPM 2025 yang diadakan pada 8 Disember. Surat berkenaan ditandatangani oleh Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad.
Menurut KPM, dasar baharu itu menetapkan bahawa tiada sebarang paksaan atau tekanan boleh dikenakan ke atas murid berkaitan pemakaian tali leher di sekolah.
Kementerian turut mengambil kira tanggungjawab ibu bapa dalam menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak menjelang permulaan sesi baharu. Sehubungan itu, langkah berkenaan diambil bagi meringankan beban kewangan isi rumah.
“KPM mengambil kira keperluan semasa murid sebelum membuat keputusan ini,” menurut kenyataan yang dimuat naik di laman sesawang rasmi kementerian.
Antara faktor utama yang dipertimbangkan ialah keadaan iklim tempatan yang panas dan lembap, yang didapati kurang sesuai untuk pemakaian tali leher secara harian serta boleh menjejaskan keselesaan murid.
Selain itu, langkah tersebut juga selari dengan usaha KPM untuk mengurangkan tekanan kos sara hidup, khususnya dalam penyediaan kelengkapan persekolahan.



