KOTA KINABALU: Penglibatan organisasi kebudayaan dalam aktiviti kebajikan bukan sahaja memperkukuh pemeliharaan warisan budaya, malah turut menyumbang secara langsung kepada kesejahteraan komuniti setempat.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib berkata, pendekatan bersepadu ini juga membantu memperkukuh pembentukan jati diri generasi muda sambil menyalurkan manfaat sosial kepada golongan yang memerlukan.
“Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah sentiasa komited menyokong inisiatif badan bukan kerajaan dan organisasi kebudayaan yang berperanan memperkasa warisan budaya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merakamkan penghargaan kepada Badan Budaya Nasional atas penganjuran Majlis Makan Malam Amal yang berlangsung di Putera Ballroom, di sini, pada Selasa.
James turut memuji inisiatif Badan Budaya Nasional menyalurkan 20 peratus hasil kutipan majlis berkenaan kepada rumah-rumah kebajikan di Sabah, khususnya bagi membantu golongan kurang upaya dan warga emas di Sabah.
Inisiatif itu disifatkan sebagai contoh keprihatinan sosial yang wajar dicontohi dalam usaha membina masyarakat yang inklusif dan berdaya ihsan.
Majlis berkenaan dihadiri lebih 200 tetamu daripada pelbagai lapisan masyarakat, termasuk pemimpin komuniti dan penggiat budaya.
Beliau berharap agar usaha murni seperti ini dapat diteruskan dan diperluaskan demi manfaat berpanjangan kepada rakyat Sabah.
Teks ucapan James telah dibacakan oleh Setiausaha Politik Menteri, Justinus Jalang, yang mewakili beliau pada majlis tersebut.
Sementara itu, Pengerusi Bersama Badan Budaya Nasional, Puan Mainah @ Jenny, menzahirkan harapan agar sokongan dan peruntukan terhadap aktiviti badan itu dapat terus dipertimbangkan pada masa hadapan.
Menurut beliau, sokongan berterusan penting bagi memastikan perancangan program dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun, efisien dan berimpak tinggi, sekali gus membantu memperkasakan pembangunan budaya serta memberi manfaat lebih menyeluruh kepada masyarakat.



