BEAUFORT : Sebanyak enam jalan utama di daerah ini dilaporkan terjejas akibat banjir susulan hujan berterusan sejak beberapa hari lalu.
Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam satu kenyataan memaklumkan, kejadian banjir melibatkan beberapa lokasi dengan tahap kebolehlaluan yang berbeza.
Antara jalan yang terjejas ialah Jalan Balibata dari KM 0.015 hingga 0.800 yang masih boleh dilalui oleh semua kenderaan selepas tindakan awal pemasangan Pelan Pengurusan Trafik (TMP) dilaksanakan.

Selain itu turut terjejas Jalan Binunuk dari KM 1.950 hingga 2.020 yang hanya boleh dilalui oleh kenderaan tinggi berikutan paras air yang masih tinggi di kawasan tersebut.
Sementara itu, Jalan Luagan sepanjang KM 0.200 hingga 2.750 dilaporkan masih boleh dilalui walaupun terkesan oleh hujan berlarutan.
Keadaan lebih serius dilaporkan di Jalan SRK Batu 60 (KM 0.100 hingga 0.200) apabila laluan berkenaan tidak boleh dilalui langsung akibat banjir berpunca daripada hujan lebat berterusan.
Penutupan jalan terpaksa dilakukan bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya.
Sementara itu, Jalan Kompleks Sukan di hadapan Balai Bomba, dari KM 0.200 hingga 0.400, masih boleh digunakan oleh kenderaan.
Pengguna jalan raya bagaimanapun dinasihatkan menggunakan laluan alternatif melalui Jalan Pejabat-Pejabat Kerajaan bagi mengelakkan kawasan dinaiki air.
Turut terjejas ialah Jalan Lintas Pekan di hadapan Mahkamah Majistret, dari KM 0.050 hingga 0.400, yang dilaporkan tidak boleh dilalui akibat banjir.
Laluan alternatif melalui Jalan Pejabat-Pejabat Kerajaan telah disarankan kepada orang awam.
Pihak berkuasa menasihatkan pengguna jalan raya agar sentiasa berwaspada, mematuhi papan tanda amaran yang dipasang dan mengelakkan laluan yang ditutup demi keselamatan.
Pemantauan berterusan sedang dijalankan dan orang ramai dinasihatkan untuk mengikuti perkembangan semasa daripada pihak berkenaan. – SABAH MEDIA



