Oleh Normimie Diun
PUTATAN: Lebih lima individu telah dipanggil untuk membantu siasatan berhubung kejadian sekumpulan individu mengadakan zikir pada tengah malam di sebuah kawasan tanah perkuburan di daerah Sandakan yang mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Exco Agama, Datuk Mohd Arifin Arif berkata, pihaknya telah mengarahkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) menerusi bahagian penyiasatan untuk menjalankan siasatan terperinci berhubung perkara tersebut.
“Perkara ini sedang disiasat dan insya-Allah minggu ini saya akan mendapatkan laporan penuh. Ini adalah satu perkara yang perlu kita cegah sekiranya bercanggah dengan ajaran Islam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Haul Ke-31 Tahun Allahyarham Tun Datu Mustapha Datu Harun di Memorial Park Tun Datu Mustapha, di sini, hari ini.
Menurut beliau, hasil siasatan berkenaan akan dibawa ke Pejabat Mufti Kerajaan Negeri Sabah untuk diteliti sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Sekiranya didapati ia merupakan ajaran salah, perkara ini akan dibawa ke Jawatankuasa Fatwa untuk dibincangkan dan berkemungkinan diwartakan sebagai ajaran sesat,” katanya.
Datuk Mohd Arifin menjelaskan, sekiranya disahkan sebagai ajaran salah, tindakan boleh diambil di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah, termasuk Seksyen 51 berkaitan kesalahan ajaran sesat.
“Kesalahan ini boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000, hukuman penjara sehingga tiga tahun atau sebatan tidak melebihi enam kali, bergantung kepada peruntukan undang-undang,” jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau mengesahkan lebih lima individu telah dipanggil setakat ini bagi membantu siasatan awal, termasuk mengenal pasti tujuan mereka berada di kawasan perkuburan berkenaan serta latar belakang kumpulan tersebut.
“Siasatan telah dijalankan hari ini oleh JHEAINS dan ia dibuat bersama pihak polis melalui jawatankuasa penguatkuasaan yang sedia ada,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan setakat ini tiada laporan lain berkaitan kes seumpama itu diterima di negeri ini, selain menegaskan bahawa lebih 10 ajaran salah sebelum ini telah diwartakan selepas melalui proses di Majlis Fatwa Negeri Sabah.
“Setakat ini belum ada ajaran salah baharu yang dikenal pasti, namun pemantauan dan penguatkuasaan akan terus diperkukuhkan,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan satu video tular memaparkan lima lelaki berzikir dalam keadaan mencurigakan di sebuah tanah perkuburan di Kampung Lupak Meluas, Sandakan, sejak Rabu lalu.
Rakaman berdurasi singkat itu menunjukkan kesemua individu berkenaan duduk di tepi beberapa kubur sambil berzikir, namun lafaz yang dibaca tidak dapat dikenal pasti dengan jelas.
Perbuatan tersebut mencetuskan kebimbangan serta pelbagai spekulasi dalam kalangan orang ramai selepas video berkenaan tersebar luas di media sosial.



