KOTA KINABALU: Pusat Ekonomi Kreatif dan Inovasi Sabah (SCENIC) melantik Mohd Lan Muslim sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu, sekali gus menandakan fasa pengukuhan dalam usaha memperkasa landskap ekonomi kreatif dan inovasi di Sabah.
Mohd Lan berkata keutamaan awal beliau adalah memposisikan SCENIC sebagai pemudah cara praktikal bagi agenda ekonomi kreatif dan inovasi, selaras sepenuhnya dengan mandat Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (MESTIS).
Dengan pengalaman lebih 20 tahun dalam sektor kewangan dan awam, termasuk pernah berkhidmat sebagai Pengarah Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) Wilayah Sabah dan Labuan, beliau berkata ekosistem kreatif Sabah masih berada pada peringkat awal, namun mempunyai peluang besar untuk perkembangan yang lebih terancang.
Beliau turut menyifatkan penganjuran Sidang Kemuncak Ekonomi Kreatif pertama di Sabah pada April lalu sebagai satu pencapaian penting yang menghimpunkan pemain industri, agensi kerajaan dan institusi pendidikan bagi memperkukuh kerjasama serta menonjolkan potensi tempatan.
“Pengurusan ekosistem yang tersusun sejak peringkat awal akan membolehkan kreativiti dan inovasi diterjemahkan kepada penyertaan ekonomi sebenar yang melibatkan kumpulan masyarakat lebih luas,” katanya.
Seiring dengan berakhirnya Pelan Lima Tahun SCENIC (2020–2025), beliau berkata organisasi itu kini akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan dan penyampaian di peringkat lapangan, di samping merangka hala tuju strategik jangka panjang bagi tempoh sedekad akan datang.
Menurutnya, keutamaan akan diberikan kepada inisiatif yang mampu menjana peluang pekerjaan, pendapatan serta pembangunan keusahawanan.
Di peringkat nasional, Mohd Lan berkata industri kreatif Malaysia kini semakin dipacu oleh industri dan pasaran, dengan penekanan lebih besar terhadap pemilikan Harta Intelek (IP), pertumbuhan perusahaan serta tahap profesionalisme.
SCENIC akan terus berperanan sebagai platform yang menghubungkan pemain industri kreatif, dewan perniagaan, institusi pendidikan serta rakan strategik di peringkat negeri, persekutuan dan antarabangsa. Perhatian khusus turut diberikan kepada golongan belia, bakat kreatif di peringkat awal kerjaya, pekerja bebas, pengusaha kecil serta komuniti di luar kawasan bandar.
“Saya berharap ekonomi kreatif, bersama inovasi dan teknologi, dapat diiktiraf sebagai salah satu tonggak penting dalam landskap ekonomi Sabah,” katanya.



