HomeUtamaHujan berterusan, lapan jalan utama di Kota Kinabalu terjejas banjir

Hujan berterusan, lapan jalan utama di Kota Kinabalu terjejas banjir

Read Time:1 Minute, 12 Second

KOTA KINABALU: Sekurang-kurangnya lapan jalan utama di daerah ini dilaporkan terjejas akibat banjir susulan hujan berterusan sejak petang tadi.

Menurut Jabatan Kerja Raya (JKR) antara laluan yang terjejas teruk ialah Jalan Gudon di hadapan SMK Bandaraya, Jalan Rampayan berhampiran Bataras Rampayan, Jalan Likas Industries, Jalan Tongkuzu, dan Jalan Ulu Kionsom 1.

Kesemua laluan tersebut dilaporkan tidak boleh dilalui oleh kenderaan dan tidak mempunyai laluan alternatif.

Turut terjejas ialah Jalan Cenderakasih di Lintas dan Jalan Undan, namun kedua-dua laluan ini masih boleh dilalui dengan menggunakan jalan alternatif, masing-masing melalui Jalan Bantayan dan Jalan Burung Keleto.

Bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya, JKR memaklumkan tindakan awal telah diambil dengan pemasangan Pelan Pengurusan Trafik (TMP) di hampir semua laluan terjejas.

Dalam perkembangan berkaitan, Jalan Kionsom di kawasan Mari Mari Cultural Village turut terjejas akibat banjir kilat.

Setakat berita ini diterbitkan, laluan tersebut masih tidak boleh dilalui oleh kenderaan kecil dan tidak mempunyai jalan alternatif, namun pemasangan TMP telah dilaksanakan.

Terdahulu, daerah Kota Kinabalu diisytiharkan sebagai kawasan bencana banjir pada jam 9 malam tadi, berikutan hujan lebat berterusan sejak petang serta paras air sungai yang dilaporkan berada pada tahap bahaya.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr Sabin Samitah, dalam satu kenyataan memaklumkan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka di Dewan Masjid Al Munir, Kampung Darau, Manggatal bagi menempatkan penduduk terjejas.

Orang awam dinasihatkan supaya berwaspada, mengelakkan laluan terjejas serta mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.

RELATED ARTICLES
Utama

Tilawah Al-Quran bentuk sahsiah generasi muda

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular