KOTA KINABALU: Mangsa terjejas banjir yang dipindahkan ke Pusat Penempatan Kekal (PPK) Selagon, Beaufort terus meningkat kepada 282 orang setakat jam 4 petang pada Sabtu.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan, jumlah itu meningkat seramai 92 orang berbanding 190 orang mangsa yang direkodkan pada jam 8 pagi tadi.
“Setakat jam 4 petang ini, jumlah mangsa terjejas banjir yang dipindahkan ke PPK Selagon meningkat kepada 282 orang melibatkan 102 keluarga.
“Jumlah ini dijangka akan meningkat berikutan cuaca hujan berterusan sejak petang tadi,” menurut kenyataan itu di sini.
Pada Jumaat, daerah Beaufort diisytiharkan sebagai kawasan bencana banjir berikutan hujan lebat berterusan dan kenaikan paras air sungai di paras bahaya ketika ini.
Pengisytiharan itu di buat Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Beaufort Mohd Nazri Ajun pada jam 5 petang. – SABAH MEDIA



