HomeUtamaSalah guna AI hasilkan kandungan memudaratkan satu kesalahan – MCMC

Salah guna AI hasilkan kandungan memudaratkan satu kesalahan – MCMC

Read Time:1 Minute, 20 Second

CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memandang serius aduan orang awam berhubung penyalahgunaan alat kecerdasan buatan (AI) di platform X, termasuk penggunaan teknologi itu bagi menghasilkan kandungan memudaratkan.

Menerusi kenyataan media hari ini, MCMC memaklumkan antara aduan diterima melibatkan manipulasi imej wanita dan kanak-kanak menggunakan AI bagi menghasilkan kandungan tidak senonoh, jelik melampau atau memudaratkan.

Menurut MCMC, penghasilan atau penyebaran kandungan sedemikian merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM), yang melarang penyalahgunaan perkhidmatan rangkaian atau aplikasi untuk menghantar kandungan jelik melampau, lucah atau sumbang.

Sehubungan itu, MCMC akan memulakan siasatan terhadap pengguna platform X yang disyaki melanggar peruntukan AKM.

MCMC turut menjelaskan bahawa dengan penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA), platform dalam talian serta penyedia perkhidmatan berlesen diwajibkan mengambil langkah pencegahan bagi menghalang penyebaran kandungan memudaratkan, termasuk kandungan lucah, tidak senonoh dan bahan penderaan seksual kanak-kanak.

Walaupun X bukan penyedia perkhidmatan berlesen buat masa ini, MCMC menegaskan platform tersebut tetap tertakluk kepada piawaian keselamatan dalam talian di Malaysia dan bertanggungjawab mencegah penyebaran kandungan memudaratkan.

Menurut kenyataan itu lagi, MCMC sedang menyiasat kemudaratan dalam talian yang berlaku di platform X dan akan memanggil wakil platform berkenaan untuk mendapatkan penjelasan lanjut.

Dalam pada itu, MCMC menggesa semua platform yang boleh diakses di Malaysia supaya melaksanakan langkah perlindungan selaras dengan undang-undang negara serta piawaian keselamatan dalam talian, khususnya melibatkan fungsi AI, chatbot dan aplikasi manipulasi imej.

Orang ramai dan mangsa turut dinasihatkan agar melaporkan sebarang kandungan memudaratkan kepada platform berkaitan serta membuat laporan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan MCMC, termasuk melalui portal aduan dalam talian MCMC.

RELATED ARTICLES
Utama

Tilawah Al-Quran bentuk sahsiah generasi muda

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular