KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) merancang untuk menyediakan Program Dapur Siswa di semua kolej kediaman secara berperingkat sebagai langkah jangka panjang bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan pelajar terus terpelihara.
Naib Canselor UMS Profesor Datuk Dr Kasim Mansur berkata, inisiatif itu bukan sekadar tertumpu kepada kampus induk, malah turut melibatkan kampus luar termasuk Labuan dan Sandakan.
Katanya, ia adalah selaras dengan komitmen universiti bagi menyediakan kemudahan yang inklusif kepada seluruh warga mahasiswa.
“Sebagai perancangan awal, kita telah mengenal pasti beberapa lokasi strategik, termasuk penyediaan dapur siswa dan siswi secara berasingan di kampus Labuan serta kemudahan serupa di Kampus Fakulti Pertanian Lestari di Sandakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri sesi lawatan Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk James Ratib ke Dapur Siswa UMS di sini pada Jumaat.
Kasim berkata, UMS turut merancang untuk melaksanakan Dapur Siswa di Kolej Kediaman Tun Pengiran Ahmad Raffae yang terletak di kampus induk menempatkan seramai lebih 3,000 pelajar.
“Kita turut merancang untuk melaksanakan program sama di Kolej Kediaman Tun Pengiran Ahmad Raffae yang menempatkan lebih 3,000 pelajar, bagi memastikan kemudahan tersebut dapat dimanfaatkan oleh bilangan pelajar yang lebih besar,” katanya.
Beliau menjelaskan, kemudahan dapur siswa akan beroperasi dari waktu pagi hingga tengah malam selain dilengkapi sistem keselamatan termasuk pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) bagi menjamin keselamatan serta mengelakkan sebarang penyalahgunaan.
“Penyediaan dapur siswa ini adalah pelaburan jangka panjang universiti untuk memastikan keperluan asas pelajar sentiasa terjamin,” katanya. – SABAH MEDIA



