PENAMPANG: Hujan lebat sejak petang tadi menyebabkan beberapa kawasan dan laluan utama di daerah ini mula dinaiki air.
Dalam satu kenyataan, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Penampang memaklumkan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) daerah itu telah memulakan pemantauan di lokasi-lokasi berisiko banjir.
Pemantauan, yang bermula sekitar jam 6.24 petang, merangkumi laluan utama dan kawasan penempatan penduduk termasuk Jalan Panglima Banting, Jambatan Koimadang, Kampung Kolopis, Kampung Sarapung, Sungai Penampang Proper, Kampung Dakata, Jalan Tanaki, Jalan Vista Kiranau, Jambatan Putaton Inobong dan Jambatan Pukakon.
Menurut kenyataan itu, paras air di Jalan Panglima Banting dilaporkan setinggi paras lutut dan hanya boleh dilalui oleh kenderaan besar, manakala paras air di Kampung Dakata pula setinggi paras betis namun masih boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan.
Pemantauan turut mendapati setakat jam 7.31 malam, paras bacaan air Sungai Penampang Proper direkodkan pada 8.30 meter, berada pada tahap amaran dan menunjukkan trend peningkatan.
Beberapa laluan lain dilaporkan masih berada dalam keadaan terkawal dan boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan.
Setakat ini, tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka, dan keadaan di kebanyakan lokasi masih terkawal.
APM memaklumkan keadaan cuaca ketika ini hujan gerimis, dan pemantauan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan penduduk, khususnya di kawasan rendah serta berhampiran sungai.



