KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manila, Hazem Mubarak Musa menzahirkan penghargaan kepada Ketua Menteri Sabah atas kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk menerajui syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri.
Hazem berkata, beliau amat menghargai pelantikan tersebut dan menganggapnya sebagai satu kepercayaan besar daripada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, apabila dilantik sebagai Pengerusi Sawit Kinabalu dan Borneo Samudera.
“Saya amat menghargai pelantikan ini dan ia merupakan satu kepercayaan besar daripada Ketua Menteri kepada saya,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau sebelum itu berkunjung ke pejabat Sawit Kinabalu, selain menerima taklimat berkaitan operasi dan hala tuju GLC berkenaan.
Menurut Hazem, kepercayaan dan keyakinan yang diberikan oleh Ketua Menteri menjadi pendorong kepadanya untuk memastikan kedua-dua GLC tersebut terus berupaya mencatatkan prestasi cemerlang.
“Ia telah menjadi tanggungjawab saya untuk memastikan GLC ini terus cemerlang dan saya akan melaksanakan amanah yang diberikan dengan penuh komitmen dan tanggungjawab,” katanya.



