KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan memandang serius dakwaan berhubung kemasukan individu yang tidak berkaitan serta penganjuran aktiviti tidak bermoral di dalam kem tentera seperti yang tular di media sosial.
Menerusi satu kenyataan media hari ini, kementerian memaklumkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah diarahkan untuk menjalankan siasatan dalaman secara segera dan menyeluruh bagi menentukan kesahihan dakwaan berkenaan.
Menurut kenyataan itu, dakwaan terbabit tidak mencerminkan budaya, nilai dan amalan sebenar ATM yang berteraskan disiplin, profesionalisme serta pematuhan ketat terhadap prosedur keselamatan yang ditetapkan.
“Kementerian Pertahanan tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran disiplin. Sekiranya siasatan mendapati dakwaan tersebut benar, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak terlibat selaras dengan peraturan, tatacara dan undang-undang semasa,” menurut kenyataan itu.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi atau kesimpulan awal yang boleh mengelirukan masyarakat serta menjejaskan reputasi Kementerian Pertahanan dan ATM.
Kementerian Pertahanan menegaskan komitmennya bersama ATM untuk terus memastikan tahap disiplin, integriti dan profesionalisme warga pertahanan berada pada tahap tertinggi, serta tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang perlakuan yang boleh menjejaskan imej dan kredibiliti institusi pertahanan negara.



