HomeUtamaSARA Bulanan bermula 9 Januari 2026, SARA Untuk Semua 9 Februari 2026

SARA Bulanan bermula 9 Januari 2026, SARA Untuk Semua 9 Februari 2026

Read Time:2 Minute, 25 Second

PUTRAJAYA: Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) Bulanan bagi tahun 2026 akan mula disalurkan seawal 9 Januari ini, manakala bantuan SARA untuk Semua secara one-off akan diberikan pada 9 Februari 2026, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, penyaluran SARA Bulanan tahun ini disertakan dengan beberapa penambahbaikan bagi meningkatkan manfaat kepada golongan penerima, khususnya isi rumah berpendapatan rendah dan golongan rentan.

Menurutnya, sasaran kedai runcit kecil yang terlibat dalam program SARA akan ditingkatkan kepada 10,000 menjelang akhir 2026 berbanding lebih 3,000 pada akhir 2025, sekali gus melengkapi rangkaian pasar raya sedia ada dan memudahkan akses penerima, termasuk di kawasan luar bandar.

“Penyaluran SARA Bulanan 2026 akan bermula pada 9 Januari kepada lima juta penerima melibatkan 3.7 juta isi rumah serta 1.3 juta warga emas tanpa pasangan.

“Ini akan diikuti pembayaran kepada 3.1 juta individu bujang pada 16 Januari,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Perdana Menteri di sini, hari ini.

Anwar berkata, penerima SARA Bulanan akan menerima kredit antara RM50 hingga RM200 setiap bulan bergantung kepada kategori kelayakan masing-masing.

Secara keseluruhan, program SARA Bulanan 2026 melibatkan 8.1 juta penerima dengan peruntukan berjumlah RM8 bilion, meningkat berbanding 5.4 juta penerima dengan peruntukan RM5 bilion pada tahun 2025.

Beliau berkata, prestasi SARA Bulanan 2025 menunjukkan kadar perbelanjaan hampir 100 peratus oleh penerima, termasuk di kawasan luar bandar, sekali gus membuktikan keberkesanan pelaksanaan bantuan berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Anwar turut mengumumkan bantuan SARA untuk Semua sebanyak RM100 secara one-off akan disalurkan pada 9 Februari 2026 kepada semua warganegara Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas.

Katanya, bantuan itu bertujuan membantu persiapan rakyat menjelang Ramadan serta sambutan Tahun Baharu Cina.

Inisiatif SARA untuk Semua mula diperkenalkan pada 31 Ogos 2025 sempena Hari Kebangsaan sebagai tanda penghargaan kepada rakyat, dengan seramai 22 juta warganegara Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas layak menerima bantuan berkenaan.

Menurut Anwar, pelaksanaan SARA untuk Semua pada 2025 mencatatkan penggunaan oleh 21.2 juta penerima atau 96 peratus, dengan jumlah perbelanjaan hampir RM2.1 bilion.

Beliau berkata, baki peruntukan kira-kira RM150 juta yang tidak dibelanjakan akan disalurkan semula bagi menjamin kebajikan golongan rentan, termasuk sokongan kepada penghuni pusat perlindungan mangsa keganasan rumah tangga, bantuan kepada pelajar orang kurang upaya (OKU) dan keperluan khas, pembelian peranti perubatan serta pelaksanaan inisiatif Dapur SISWA bagi membantu pelajar kurang berkemampuan mendapatkan akses makanan.

Anwar menegaskan, SARA untuk Semua merupakan bantuan one-off kepada semua warganegara dewasa tanpa mengira pendapatan dan berbeza daripada SARA Bulanan yang disalurkan setiap bulan kepada penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta golongan memerlukan.

Selain itu, beliau turut mengumumkan penyaluran STR Fasa 1 bagi tahun 2026 akan bermula pada 20 Januari ini dengan peruntukan RM1.1 bilion, melibatkan 3.7 juta isi rumah dan 1.3 juta warga emas tanpa pasangan.

Penerima STR Fasa 1 2026 akan menerima bayaran antara RM100 hingga RM500 mengikut kelayakan masing-masing.

RELATED ARTICLES
Utama

Banjir Sabah : Beaufort terus catat peningkatan jumlah mangsa

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular